• Ekstasi Dalam Bagasi Dirampas

    Published: Monday, 4 December 2017
    A- A+

    Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menggagalkan cubaan menyeludup 10,196 pil Ekstasi dianggarkan bernilai RM356,860 di Cawangan Bungkusan Pos Malaysia Kota Kinabalu, Selasa lalu.

    Dalam kejadian jam 12 tengah hari, dua bungkusan mengandungi dadah berkenaan dianggarkan seberat empat kilogram ditemui dalam sebuah bagasi besar berisi pakaian terpakai.

    Pengarah JKDM Sabah Datuk Hamzah Sundang berkata, semua dadah itu ditemui pegawai JKDM hasil pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas.

    “Hasil pemeriksaan, kita dapati ada imej mencurigakan dalam bagasi yang disimpan dalam kotak besar itu.

    “Pemeriksaan lanjut terhadap bagasi itu menemui ruang rahsia untuk menyembunyikan dadah berkenaan yang ditemui dalam bungkusan hitam di ruang rahsia itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JKDM Sabah, hari ini.

    Beliau berkata, bungkusan itu dipercayai dikirim dari Belanda dan pakaian terpakai itu dipercayai bertujuan mengaburi pihak berkuasa.

    “Bungkusan itu dialamatkan untuk dihantar ke Sandakan, namun perlu dibawa terlebih dulu ke Kota Kinabalu untuk tujuan pemeriksaan.

    “Susulan rampasan itu, kita menahan seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun yang datang bagi menuntut bungkusan berkenaan,” katanya.

    Menurutnya, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.

    Katanya, ia rampasan pertama dilakukan JKDM Sabah membabitkan cubaan menyeludup dadah menerusi bungkusan pos pada tahun ini.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Ekstasi Dalam Bagasi Dirampas "