• Ekspo Negaraku Jana Pendapatan Usahawan Kecil Empat Kali Ganda

    Published: Friday, 15 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Penganjuran Ekspo Negaraku 2017 yang berakhir hari ini berjaya membantu kira-kira 100 usahawan perniagaan dari atas trak atau food truck sepanjang sebulan penganjurannya di Dataran Merdeka.

    Rata-rata peniaga yang ditemui Utusan Malaysia memaklumkan bahawa peluang yang diberikan kerajaan kepada mereka telah digunakan sebaiknya dan berjaya menjana pendapatan sehingga empat kali ganda daripada kebiasaan.


    Salah seorang peniaga, Mohd. Aslam Nor Zahari, 29, berkata, kunjungan tidak henti orang ramai ke ekspo berkenaan turut membantu perniagaannya.


    “Selama satu minggu saya berniaga di sini, sambutan pembeli memang sangat mengujakan kerana pengunjung yang datang tidak hanya orang tempatan bahkan pelancong asing juga tidak terkecuali.


    “Terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan khususnya yang menyediakan platform sebegini kepada kami usahawan kecil untuk memperoleh sedikit pendapatan tambahan tanpa perlu membayar sebarang caj seperti sewa tapak,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di Dataran Merdeka, di sini hari ini.


    Ekspo yang bercirikan perkembangan infrastruktur negara itu telah dikunjungi lebih 500,000 pengunjung sejak dibuka pada 15 November lalu. - UTUSAN ONLINE.

    Subjects:

  • No Comment to " Ekspo Negaraku Jana Pendapatan Usahawan Kecil Empat Kali Ganda "