• Dua pemancing hanyut dari Pulau Mengalum belum ditemui

    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+

    KOTA KINABALU - Maritim Malaysia (APMM) DM15 Kota Kinabalu giat meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua individu yang dipercayai hanyut di sekitar Pulau Gaya di sini hari ini.

    Mangsa yang dikenali sebagai Iman@Dimas Tampas dan Moso masing-masing berusia 20-an dan 50-an itu merupakan antara sembilan pemancing yang hanyut selepas bot nelayan yang mereka naiki mengalami kerosakan enjin di Pulau Mengalum sejak 17 Disember lalu.

    Bagaimanapun, tujuh pemancing berjaya ditemui dalam keadaan terapung di sekitar Pulau Mantanani Kecil di sini antara pukul 2.20 petang hingga 8 malam semalam manakala dua lagi mangsa tidak ditemui sehingga hari ini.

    Pengarah Maritim Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, hasil maklumat yang diperoleh kedua-dua lelaki terbabit dipercayai hilang dihanyutkan ketika cuba meminta bantuan daripada penduduk di pulau berhampiran.

    "Difahamkan, pada 20 Disember lalu, kedua-dua mangsa bertindak turun ke laut menggunakan sebuah sampan kecil untuk meminta bantuan dari pulau berdekatan.

    "Bagaimanapun, selepas mendayung sejauh 40 meter rakan-rakannya melihat mangsa terkapai-kapai kerana sampan yang dinaiki karam dipukul ombak dan mereka dipercayai hanyut sehingga hari ini," katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM DM15 Kota Kinabalu di sini hari ini.

    Sementara itu, tujuh mangsa terselamat yang berusia antara 20an hingga 50an telah dibawa ke Jeti APMM Sepanggar dari Pulau Mantanani Kecil pada pukul 3 pagi tadi.

    Seorang daripada mangsa dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) dekat sini kerana mengalami masalah kekejangan otot dan kesejukan.

    Pada 20 Disember lalu, APMM menerima maklumat daripada kru kapal Nur Amanah mengenai sebuah bot nelayan yang mengalami kerosakan sejak tiga hari lalu di Pulau Mengalum.

    Keadaan ombak yang mencecah lebih tiga meter menghalang kru kapal terbabit memberi bantuan awal. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Dua pemancing hanyut dari Pulau Mengalum belum ditemui "