• Dua Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Sertai Abu Sayyaf, Sembunyikan Maklumat

    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR : Seorang lelaki dan adik iparnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan masing-masing menjadi anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan menyembunyikan maklumat berkaitan kumpulan pengganas berkenaan.

    Warga tempatan Hajar Abdul Mubin, 25, dan adik iparnya Abdul Syamir Dabilin, 25, rakyat Filipina, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak.

    Kedua-dua lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan itu dipercayai antara 19 suspek yang ditahan sebelum ini dalam cubaan melakukan serangan ketika upacara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

    Mengikut pertuduhan, Hajar yang merupakan perancang utama serangan itu didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf mengikut seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan denda, jika sabit kesalahan.

    Dia yang berasal dari Sabah dituduh melakukan kesalahan itu di ZA 2-14 Lorong Pangsa Baiduri 2, Taman Desa Baiduri, Cheras antara 2010 dan 30 Ogos 2017. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Dua Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Sertai Abu Sayyaf, Sembunyikan Maklumat "