• Dua Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Urus Rumah Persundalan

    Reporter: Admin
    Published: Friday, 29 December 2017
    A- A+
    KOTA KINABALU, 29 Dis (Bernama) -- Dua lelaki hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengurus rumah persundalan.

    Tay Leong Hee, 52, dan Tay Tian Chuan,45, dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 2, Hotel Promenade, No.4, Lorong Api-Api 3, Api-Api Centre, kira-kira pukul 8.44 malam, pada 23 Nov lalu.

    Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 373 (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh dikenakan denda.

    Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim yang mendengar kes itu memerintahkan kedua-dua tertuduh itu dikenakan ikat jamin 20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin tempatan.

    Kedua-dua tertuduh juga diperintahkan menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat Jabatan Imigresen sebulan sekali.

    Hakim Noor Hafizah juga menetapkan 10 Jan 2018 untuk pengurusan kes.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fazril Sani Mohd Fadzil manakala Tay Leong Hee dan Tay Tian Chuan masing-masing diwakili peguam Datuk Chaw Chin Tang dan Adrian Cham Chee Kong.

    Kedua-dua tertuduh adalah antara empat yang ditahan Jabatan Imigresen Sabah dalam Ops Gegar di hotel berkenaan pada 23 Nov lalu.

    Dalam operasi itu, Jabatan Imigresen turut menemukan dan merampas wang tunai sebanyak RM14.5 juta. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Dua Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Urus Rumah Persundalan "