• Dua Kucing Harumkan Nama Malaysia

    Published: Monday, 18 December 2017
    A- A+


    DUA ekor kucing mengharumkan nama negara apabila memenangi kategori masing-masing pada pertandingan disertai pemiliknya dalam Fife World Show 2017 The Netherland yang berlangsung di Belanda pada 28 dan 29 Oktober lalu.

    Kedua-dua si comel masing-masing daripada baka Maine Coon dan baka bulu panjang.

    Pemiliknya, Noraffidah Ramli, 40, yang memiliki kucing diberi nama Aika Akira Alvaro, berusia 3 tahun mendapat tempat kedua dalam Kategori 2 baka Maine Coon mengalahkan 12 ekor kucing dalam kategori berkenaan.

    Manakala seorang lagi, Rooaida Mohd Darus, 35, yang memiliki kucing bernama Miko, berusia 2 tahun menjadi juara dalam kucing bulu panjang (jantan) dan tempat kedua dalam kategori kucing rumah bulu panjang.

    Kedua-dua si comel berkenaan merupakan kucing yang dipilih Kelab Kucing Malaysia (KKM) atas pencapaian diraih sebelum ini untuk bertanding mewakili negara pada pertandingan menghimpunkan 1,700 ekor kucing pelbagai baka dari 40 buah negara.

    Tak sangka menang

    Menceritakan kemenangan itu, Noraffidah berkata, pada awalnya dia tidak menyangka Aika akan memenangi tempat kedua dalam pertandingan di peringkat antarabangsa itu.

    “Memang saya dan suami (Zakibullah Nakibullah, 42) hanya datang dengan satu tujuan iaitu bagi mewakili negara tetapi tidak pula menyangka Aika dapat mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

    “Banyak kucing lain mempunyai potensi untuk menang dalam kategori ditandingi Aika, tetapi nampak kemenangan berpihak kepada Aika,” katanya ketika ditemui di Pesta Haiwan Seremban 2017 anjuran KKM dan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di Dewan MPS di Seremban, Ahad.

    Noraffidah yang berasal dari Seri Kembangan berkata, sebelum ini Aika pernah mengungguli kategori yang ditandingi dalam beberapa pertandingan kucing, tetapi hanya dalam negara sahaja.

    “Antaranya pertandingan kucing di Putrajaya. Ketika itu Aika berusia 8 bulan dan menang tempat pertama dalam kategori Junior separa bulu panjang, terbaik dalam kesempurnaan, separa bulu panjang terbaik, anak kucing terbaik dan terbaik dalam pameran.

    “Dua tahun lepas di pertandingan kucing di Penang pula, Aika yang ketika itu berusia 5 bulan menang tempat kedua dalam semua kategori yang dipertandingkan,” katanya.

    Menurutnya, dia kini mempunyai 40 ekor kucing dan membiak baka Maine Coon dan Ragdolls sejak 2013.

    Suami jadi pendorong

    Sementara itu, Rooaida pula berkata, kucingnya dari baka bulu panjang sahaja dan dibeli daripada kedai kucing pada 2015.

    Menurutnya dia dan suami, Muhammad Shaharuddin Shuib, 39, amat menitikberatkan soal penjagaannya.

    “Sejak bela Miko pada usia 2 bulan. Suami sayalah orang yang bertanggungjawab dalam menata rias Miko. Usaha kami tidak sia-sia kerana Miko menang dalam kategori kucing bulu panjang (jantan) dan tempat kedua dalam kategori kucing rumah bulu panjang pada Fife World Show 2017 yang lalu.

    “Ini adalah kejayaan Miko paling besar di peringkat antarabangsa. Berdasarkan rekod, Miko merupakan kucing Malaysia yang pertama layak ke pertandingan akhir di pertandingan antarabangsa,” katanya. - Sinar Online

    Subjects:

  • No Comment to " Dua Kucing Harumkan Nama Malaysia "