• Dua konstabel polis berdepan tali gantung

    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+


    DUA anggota polis berdepan hukuman mati apabila dituduh menjadi rakan sejenayah kepada seorang individu yang melepaskan tembakan menggunakan senjata api dalam rompakan di sebuah rumah di Batu 9, Kuantan, November lalu.

    Tertuduh, Muhamad Amin Pauzi dan Muhammad Shafiq Saari didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini, atas pertuduhan menjadi rakan sejenayah kepada buruh, Muhammad Nur Subhi Mohd Rakhzam yang melakukan rompakan dan melepaskan tembakan ke arah Leong Tien Fook menggunakan senjata api dengan niat mencederakan atau menyebabkan kematiannya di rumah beralamat DU-50, Batu 9, pada 5.30 pagi, 25 November lalu.

    Konstabel yang masing-masing berusia 25 tahun itu didakwa berada di lokasi ketika kejadian dan mereka diandaikan dengan munasabah mengetahui Muhamad Nur Subhi membawa senjata api.

    Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua mereka selepas kertas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nordiana Abd Aziz.

    Tertuduh juga mengaku memahami pertuduhan dibacakan itu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

    Pada prosiding sama, Muhammad Nur Subhi, 25, didakwa melakukan rompakan di rumah berkenaan dan pada masa sama melepaskan tembakan ke arah Tien Fook dengan niat menyebabkan kecederaan atau kematian terhadap mangsa.

    Dia mengaku memahami pertuduhan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman mati, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan manakala tertuduh terbabit tidak diwakili peguam.

    Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap semua tertuduh dan Nordiana kemudian menetapkan 16 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Dua konstabel polis berdepan tali gantung "