• Dua kes baharu rabies dilapor di Matang

    Reporter: Yusz Man
    Published: Saturday, 30 December 2017
    A- A+

    KUCHING: Dua daripada tiga ekor anjing liar dari kawasan Taman Jutaria dan Taman Dahlia, Matang, di sini disahkan positif rabies, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

    Sekretariat itu, dalam kenyataan akhbarnya semalam berkata, perkara tersebut disahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JVS) selepas menerima keputusan sampel anjing tersebut melalui ujian FAT dan PCR.

    “Kedua-dua anjing yang positif adalah dari kawasan yang disytiharkan kawasan wabak iaitu Taman Jutaria dan Taman Dahlia di Matang.

    “Manakala seekor anjing disahkan negatif wabak tersebut adalah dari kawasan Batu 14 Jalan Kuching-Serian dan turut disahkan negatif seekor kelawar yang ditangkap dari Kampung Batu Bedang, Jalan Mongkos, Serian,” katanya.

    Menurutnya juga, 306 sampel meliputi 279 anjing, 25 kucing, dan dua kelawar dihantar ke VRI, Ipoh untuk ujian rabies.

    “Setakat ini keputusan sampel daripada 268 anjing, 25 kucing dan dua kelawar telah diterima dan hasilnya, kira-kira 21.4 peratus yang terdiri daripada 57 sampel anjing dan enam kucing disahkan positif rabies,” katanya.

    Secara keseluruhan, 42,227 haiwan peliharaan meliputi 34,205 anjing, 7,977 kucing dan 45 lain-lain seperti monyet dan arnab telah menerima vaksin rabies.

    Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak juga memaklumkan 12 kes gigitan baharu dilaporkan sehingga semalam.

    “Tiga kes dilaporkan daripada Serian, lima kes dari Samarahan dan empat dari bahagian Kuching.

    “Daripada jumlah tersebut, 12 kes melibatkan haiwan peliharaan iaitu sembilan anjing dan tiga kucing menjadikan jumlah kes gigitan haiwan sejak 1 April sehingga hari ini (semalam) adalah 5,501 kes,” katanya

    Tambahnya, 2,093 orang juga telah menerima suntikan vaksin rabies.

    “Untuk makluman, bukan semua kes gigitan haiwan memerlukan suntikan vaksin rabies, kerana setiap kes akan dinilai secara klinikal oleh pakar perubatan sebelum ditentukan sama ada vaksin diperlukan atau sebaliknya,” katanya.

    Bagaimanapun, JPBN menasihati orang ramai yang mempunyai sejarah gigitan anjing diminta untuk segera mendapatkan pemeriksaan di mana-mana pusat kesihatan yang terdekat.

    “Sekiranya digigit (anjing), perlulah mengambil langkah pencegahan segera dengan mencuci luka bahagian terkena gigitan menggunakan sabun dan air bersih yang mengalir selama 15 minit, sebelum segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan,” katanya.-Utusan Boeneo
  • No Comment to " Dua kes baharu rabies dilapor di Matang "