• Dua Beradik Ditahan Curi, Jual Barang Kemas Ibu

    Published: Friday, 1 December 2017
    A- A+
    JASIN – Dua adik-beradik ditahan kerana mencuri barang kemas milik ibu mereka dianggarkan bernilai RM6,000 dan menjualnya di kedai pajak gadai untuk mendapatkan wang bagi kegunaan sendiri.

    Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Arshad Abu berkata dua wanita masing-masing berusia 20 dan 44 tahun itu yang tinggal bersama ibu mereka, di Rumah Awam, Lorong Sempang Pantai di sini, disyaki melakukan jenayah tersebut selepas mangsa berumur 58 tahun itu menjumpai surat pajak gadai barang kemas di bilik anaknya.

    Beliau berkata barang kemas iaitu dua gelang, satu rantai tangan dan dua pasang anting-anting emas itu dijual pada harga RM5,600 berdasarkan surat pajak yang dijumpai kira-kira 8 pagi, 23 Nov lepas.

    “Mangsa yang merupakan pekerja kilang itu kemudian membuat laporan polis dan berdasarkan surat pajak berkenaan kita telah ke kedai pajak gadai berkenaan di Jalan Munshi Abdullah (di sini) untuk mengesan barangan yang dijual.

    “Pada 24 Nov, polis kemudian telah memanggil kedua-dua suspek untuk membantu siasatan lanjut sebelum mereka ditahan di Balai Polis Merlimau kira-kira jam 2 petang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

    Beliau berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua wanita berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta negatif dadah dan tindakan berkenaan dilakukan mereka bagi menampung perbelanjaan harian kerana tidak bekerja.

    Dalam kes berasingan, katanya, seorang pengasuh ditahan kerana mencuri barang kemas milik jirannya yang dianggarkan bernilai RM30,000 di kedai pajak di Gemencheh di sini pada 18 Nov.

    Arshad berkata wanita berusia 41 tahun yang tinggal di Taman Kelubi Damai di sini itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin pada kira-kira 3 petang, 22 Nov lepas bagi membantu siasatan lanjut selepas surat pajak gadai yang tertera jumlah RM7,000 dijumpai pada wanita tersebut.

    Beliau berkata tindakan lanjut polis ke kedai pajak tersebut turut mengesan semua barang kemas yang dilaporkan hilang dan motif suspek mencuri kerana ingin mendapatkan wang untuk membayar hutang.

    “Wanita berusia 33 tahun itu merupakan pengasuh kepada anak mangsa yang berusia dua bulan dan kehilangan barang kemas tersebut disedari mangsa pada 18 Nov kira-kira 8 malam sebelum beliau membuat laporan polis.

    “Kali terakhir mangsa melihat barang kemas tersebut dalam simpanannya di rumah adalah pada 12 Nov. Pengasuh tersebut menjaga anak mangsa yang berusia dua bulan di rumah mangsa yang merupakan penoreh getah dan mempunyai akses keluar masuk di rumah tersebut,” katanya.

    Dalam pada itu, Arshad berkata peniaga yang menjalankan perniagaan pajak gadai diingatkan agar memastikan barang kemas yang digadai bukan barangan curi dan mereka juga boleh dikenakan tindakan.

    Sementara itu, dalam satu lagi kes berasingan, tiga lelaki berusia 21, 30 dan 42 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam jenayah pecah rumah di dua premis di Taman Pahlawan di sini melibatkan kerugian kira-kira RM4,200 pada 21 Nov lepas.

    “Semua lelaki tersebut ditahan di sebuah restoran di Tampoi Johor kira-kira 3 pagi dan mereka datang ke daerah ini semata-mata untuk melakukan jenayah pecah rumah,” katanya.

    Beliau berkata suspek berusia 42 tahun itu mempunyai masing-masing sembilan kes jenayah dan dadah serta beliau dikehendaki polis Batu Pahat bagi kes pecah rumah.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Dua Beradik Ditahan Curi, Jual Barang Kemas Ibu "