• Dr Mahathir Yakinkan Pemimpin Pelajar Anwar Bersalah

    Published: Friday, 1 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berusaha meyakinkan pemimpin politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin pelajar bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah melakukan liwat.

    Perkara itu didedahkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang pernah dipanggil Dr Mahathir ketika beliau menjadi pemimpin mahasiswa.

    Katanya, Dr Mahathir pernah memanggilnya beberapa kali untuk berdebat kerana beliau kerap mengkritik kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri itu, selain berusaha meyakinkannya bahawa Anwar memang bersalah.

    "Ketika zaman belajar, saya agak lantang bersuara. Beberapa kali saya dipanggil bertemu dengan Dr Mahathir yang ketika itu adalah Perdana Menteri dan berdebat dengan beliau secara peribadi.

    "Saya ada bertanya dia, dan dia juga tanya saya mengapa mengkritik kerajaan. Saya sebut satu demi satu. Ada benda dia mengaku, (tetapi) banyak benda dia tak mengaku.

    "Waktu itulah dia cuba meyakinkan saya bahawa Anwar Ibrahim memang bersalah, namun hari ini dia kata yang meyakinkan (Anwar bersalah) bukan dia, tetapi orang UMNO.

    "Tetapi pada waktu itu, dialah yang meyakinkan semua pemimpin politik serta pemimpin NGO dan pertubuhan pelajar termasuk saya, bahawa Anwar bersalah," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada forum Mendaulatkan Institusi Raja Dalam Perspektif Agama sempena Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) 5.0 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

    Turut hadir, Pengarah PEMANAS 5.0, Mohd Shahar Abdullah.

    Asyraf Wajdi aktif sebagai pemimpin pelajar ketika zaman gerakan reformasi dicetuskan Anwar, antaranya menjadi Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) antara tahun 1999 sehingga 2001, selain antara yang mewujudkan Majlis Pelajar Malaysia (MPM) bagi menentang Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK). - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Dr Mahathir Yakinkan Pemimpin Pelajar Anwar Bersalah "