• Disoal Siasat Pegawai SPRM 'Palsu'

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 27 December 2017
    A- A+


    POLIS sedang mengesan tiga lelaki yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mereka cuba memasuki kediaman di perumahan kakitangan penguat kuasa di Bintulu, semalam.

    Dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa yang berusia 48 tahun berada di rumahnya sebelum tiga lelaki tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai anggota penguat kuasa SPRM.

    Suspek yang berpakaian kemas itu kemudiannya meminta mangsa untuk memberi penjelasan wang yang diperoleh untuk membeli peralatan muzik dan beberapa kelengkapan rumah lain.

    Bagaimanapun, mangsa mula curiga dengan pertanyaan suspek kerana yakin mereka bukan anggota penguat kuasa seperti yang didakwa sebelum bertindak mengunci pintu rumahnya.

    Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, bagi meyakinkan dan menakutkan mangsa, suspek menunjukkan kad kuasa SPRM yang mempunyai logo dan nama.

    Menurutnya, bagaimanapun suspek gagal memperdayakan mangsa sebelum beredar dari perumahan berkenaan kerana bimbang kegiatan mereka dihidu penduduk lain.

    Beliau berkata, mangsa yang curiga dengan kehadiran suspek selain bimbang akan kembali 'disoal siasat' kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Bintulu tengah hari semalam.

    "Polis sudah menghubungi agensi penguatkuasaan berkenaan dan mendapati tiada sebarang arahan dikeluarkan untuk anggota agensi itu menjalankan siasatan di rumah mangsa selain tiada pegawai atau anggota seperti yang didakwa suspek.

    "Semakan lanjut terhadap nombor pendaftaran Proton Saga yang dinaiki suspek juga mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya ketika dihubungi.

    Zulkipli berkata, satu pasukan khas sudah ditubuhkan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bintulu untuk mengesan dan menumpaskan kumpulan berkenaan.

    Katanya, orang ramai juga dinasihatkan lebih berwaspada sekiranya didatangi mana-mana individu yang mengaku sebagai penjawat awam dan mahu melakukan pemeriksaan lanjut di rumah.

    "Orang ramai perlu membuat semakan terlebih dulu dengan agensi berkaitan atau menghubungi Balai Polis Bintulu di talian 08-6331121 supaya dapat mengelak daripada menjadi mangsa.

    "Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda jika sabit kesalahan," katanya.-hmetro
  • No Comment to " Disoal Siasat Pegawai SPRM 'Palsu' "