• Diskaun untuk pesalah trafik

    Published: Monday, 4 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kira-kira 3.2 juta pesalah trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diberi diskaun bagi kompaun yang tertunggak sejak tiga tahun lalu.

    Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan, berkata tawaran itu bermula 15 Disember ini hingga 28 Februari tahun depan, membabitkan jumlah tertunggak sebanyak RM10 juta.

    "Melalui diskaun ini, pesalah lalu lintas hanya perlu menjelaskan kompaun mereka dengan bayaran RM20 untuk motosikal, RM30 (kereta) dan RM50 untuk bas serta lain-lain kenderaan bagi setiap notis yang dikeluarkan.

    "Bagaimanapun, tawaran kadar khas ini tertakluk kepada kesalahan lalu lintas saja dan tidak termasuk kes yang dibawa ke mahkamah serta kes disenarai hitam," katanya.

    Beliau berkata demikian pada majlis Penghargaan Bersama Agensi Sahabat Sempena Hari Penguatkuasa Ke-48 2017 Jabatan Penguatkuasaan DBKL di Menara DBKL 1, baru-baru ini.

    Yang turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas tarikh akhir 28 Februari 2018, pesalah trafik tidak boleh lagi menikmati kadar diskaun itu.

    "Jadi, saya nasihatkan mereka supaya gunakan peluang yang ada selama lebih dua bulan ini untuk mendapatkan diskaun, di mana-mana saja kaunter bayaran DBKL di kawasan masing-masing.

    "Kami menjangkakan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah kompaun ini dapat diselesaikan dalam tempoh pemberian diskaun ini," katanya.

    Sementara itu, sepanjang Januari hingga Oktober lalu, DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan memperoleh pendapatan sebanyak RM6.4 juta, hasil daripada operasi penguatkuatsaan.

    Antaranya, Operasi Anti Kotor, Operasi Jejantas, Kapit Kenderaan, Tunda Kenderaan (kesalahan lalu lintas) dan Tunda Kenderaan Buruk/Tersadai.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Diskaun untuk pesalah trafik "