• Dilayan Sebagai Hantu Selepas 2 Tahun Menghilang

    Published: Friday, 29 December 2017
    A- A+

    SEBUAH keluarga di Thailand terkejut apabila melihat seorang ahli keluarga mereka yang telah disemadikan beberapa bulan lalu berada di pintu rumah.

    Sakorn Sacheewa, 44, dari wilayah Si Ka Ket di Thailand, pulang ke rumah selepas dua tahun bekerja di sebuah bot nelayan, di bahagian lain di negaranya.

    Dia tidak pernah menghubungi keluarganya sepanjang tempoh itu, jadi dia tidak mengharapkan kepulangannya diraikan.

    Bagaimanapun, dia juga tidak pernah terlintas akan dilayan sebagai 'hantu' sebaik sahaja dia pulang.

    Namun, begitulah cara keluarganya bertindak balas ketika dia berjalan di pintu pada 17 Disember lalu dengan ahli keluarganya menyentuh dan memegangnya untuk memastikan dia adalah manusia.

    Sacheewa kemudian mendapat tahu bahawa bagi mereka, dia telah mati tujuh bulan lalu.

    Pada Mei, keluarga Sacheewa telah dihubungi oleh polis di Nang Loeng, tempat di mana dia bekerja yang memberitahu bahawa ahli keluarga mereka itu telah meninggal dunia akibat gangguan pencernaan.

    Mereka diminta untuk mengenal pasti dan membawa pulang mayat.

    Mereka telah pergi ke daerah Phra Nakhon, Bangkok, di mana mereka menerima sijil kematian dan kemudian mengambil mayat dari sebuah hospital di sana.

    Keadaan mayat yang bengkak yang ditunjukkan kepada mereka menyebabkan ia sukar untuk dikenal pasti, malah sepupu Sacheewa, Nakornchai Pimklang, 33 tahun, menyedari bahawa gigi mayat itu tidak sepadan dengan dirinya yang tidak mempunyai dua gigi depan.

    Dia memberitahu seorang pegawai tetapi mereka tetap diarah untuk mengambil mayat tersebut.

    Mereka tidak membantah lalu membawa mayat itu pulang ke Si Ka Ket, di mana mereka mengadakan upacara keagamaan selama tiga hari, sebelum mayat dibakar.

    Sementara itu, Sacheewa yang sebenarnya masih hidup dan berada dalam keadaan baik, bekerja di Nang Loeng, sama seperti yang telah dilakukannya selama dua tahun lalu.

    Beberapa minggu lalu, dia memutuskan untuk berhenti kerja dan pulang ke rumah tanpa menyangka betapa kepulangannya itu mengejutkan keluarganya.

    Selepas mendengar kisah kematiannya, Sacheewa berkata, pada satu ketika, seorang rakan sekerja dari Myanmar mencuri kad pengenalannya dan menghilangkan diri, tetapi dia hanya melaporkannya sebagai satu kehilangan biasa dan pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan pengenalan diri yang baharu.

    Dia tidak pernah membayangkan bahawa seseorang akan menggunakan kadnya untuk menyamar menjadi dirinya.

    Kebimbangan utama Sacheewa sekarang ialah untuk mendapatkan pengesahan semula daripada Biro Pentadbiran Pendaftaran yang menyatakan dia secara rasmi telah mati tujuh bulan yang lalu, berdasarkan sijil kematiannya.

    Polis kini perlu menyiasat untuk mengetahui mayat siapa yang disemadikan tujuh bulan lalu. Mereka berharap dapat mengetahuinya dengan cara menganalisis tulang yang tersisa daripada pembakaran mayat. - Mstar

    Subjects:

  • No Comment to " Dilayan Sebagai Hantu Selepas 2 Tahun Menghilang "