• Dibuang Kerja Jika Jadi Tali Barut

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Tindakan tegas termasuk buang kerja akan diambil terhadap pegawai Imigresen yang didapati bersalah menjadi tali barut dan bersekongkol dengan sindiket penyeludupan warga asing menyebabkan pintu masuk negara dibolosi.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata Jabatan Imigresen sudah menahan beberapa pegawainya yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan isu bolos warga Bangladesh di pintu masuk utama negara itu.

    Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai bilangan pegawai yang ditahan berkaitan kes berkenaan.

    "Apa yang pasti, tindakan sudah diambil dengan penahanan pegawai terbabit dan mereka masih ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

    "Jika terbukti mereka terbabit dalam sebarang pelanggaran integriti, kita tidak akan berkompromi dan tindakan tegas dikenakan termasuk buang kerja bergantung kepada sejauh mana pembabitan mereka dalam perkara ini," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen di Putrajaya, hari ini.

    Selain itu, Mustafar berkata, beliau sudah berbincang bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun semalam berhubung isu itu dan tindakan lanjut juga dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Susulan itu, katanya satu pasukan khas sudah dihantar ke Dhaka, Bangladesh pada Ahad lalu bagi melakukan tindakan semakan tertentu di negara berkenaan berhubung isu berkenaan.

    "Apabila dikatakan ada dibolosi dalang di luar melakukannya untuk mengaut keuntungan dan imbuhan manakala dalang di dalam, pasti kita ambil tindakan.

    Justeru, beberapa tindakan semakan yang memerlukan penelitian lanjut dibuat (di KLIA) dan negara terbabit malah tindakan bersama PDRM akan diteruskan," katanya.

    Khamis lalu, media mendedahkan, buruh haram warga Bangladesh diseludup masuk ke negara ini melalui KLIA setiap hari diuruskan empat sindiket besar beroperasi di Dhaka, Bangladesh selain di ibu kota.

    Dalam pada itu, Mustafar berkata mulai 1 Januari tahun depan, majikan boleh mendapatkan permit khas pembantu rumah asing daripada Jabatan Imigresen yang dibuat melalui sistem dalam talian.

    Permohonan boleh dibuat secara terus tanpa melalui ejen atau orang tengah dan ia dijangka mengambil tempoh tujuh hingga 16 hari.

    Katanya langkah pengambilan secara terus pembantu rumah asing dari negara sumber dapat mengurangkan kos dan beban majikan, dengan majikan hanya perlu membayar sekitar RM3,500 hingga RM4,000 berbanding bayaran kepada ejen yang mencecah antara RM12,000 dan RM18,000

    Selain itu, Mustafar turut menegaskan Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI (Rehiring) akan tamat pada 31 Disember ini dan tidak akan dilanjutkan.

    Dalam perkembangan lain, beliau tidak menolak kemungkinan kes 17 gadis dan wanita warga Filipina berusia belasan tahun hingga 40-an dipercayai dieksploitasi sebagai pelacur dan diselamatkan dalam Ops Gegar oleh Jabatan Imigresen, baru-baru ini dilakukan oleh sindiket tertentu dan dua daripada suspek yang ditahan dalam kes itu sudah dituduh mahkamah.-BH

    Subjects:

  • No Comment to " Dibuang Kerja Jika Jadi Tali Barut "