• Dewan Negara Lulus Tiga Rang Undang-Undang

    Published: Tuesday, 19 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini meluluskan tiga rang undang-undang (RUU) iaitu RUU Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) (Pindaan) 2017, RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pindaan) 2017 dan RUU Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) 2017.

    RUU MyIPO (Pindaan) 2017 yang dibentangkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong bertujuan menambah baik Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia 2002 yang belum pernah dipinda sejak dikuatkuasakan pada 2003.

    Ini sekali gus menambah baik tadbir urus MyIPO dan memperjelaskan lagi kuasa serta fungsinya untuk mengawal selia selain menguatkuasakan perundangan harta intelek.

    Ketika menggulung perbahasan RUU itu, beliau berkata tempoh biasa pemprosesan bagi permohonan paten adalah 26 bulan, bagaimanapun terdapat peruntukan yang membolehkan proses dipercepatkan kepada 20 bulan.

    Beliau berkata pada tahun ini MyIPO dengan kerjasama kementeriannya menubuhkan sebuah badan pelesenan tunggal kutipan royalti iaitu Music Rights Malaysia (MRM) Bhd untuk memastikan hak dan royalti pemunya hak cipta itu ditadbir urus dan disalurkan dengan lebih telus.

    Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi ketika menggulung RUU MAVCOM (Pindaan) 2017, berkata caj pengawalseliaan terhadap penumpang di setiap lapangan terbang pada harga maksimum RM1 hanya dikenakan untuk penumpang yang berlepas sahaja dan dikecualikan kepada penumpang transit serta kru penerbangan.

    Beliau berkata, MAVCOM dijangka mampu mengutip hingga RM26 juta jika caj itu dilaksanakan pada 1 Mac depan berdasarkan anggaran jumlah penumpang pada tahun berkenaan.

    Terdahulu ketika membentangkan RUU itu, Ab Aziz berkata, ia antara lain bertujuan memberi kuasa kepada suruhanjaya itu mengenakan penalti kewangan serta memungut caj ke atas penumpang di lapangan terbang bagi perkhidmatan pengawalseliaan.

    RUU Skim Insurans Pekerjaan 2017 atau SIP yang dibentangkan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib pula bertujuan menyediakan insurans bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan faedah bantuan kewangan sementara.

    Sistem itu juga adalah program jaringan keselamatan sosial dalam menyediakan perkhidmatan pekerjaan seperti bantuan carian pekerjaan, penempatan pekerjaan, kaunseling kerjaya dan program latihan kepada orang berinsurans yang kehilangan pekerjaan.

    Beliau berkata, SIP yang ditadbir oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial akan dilaksanakan Januari depan. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Dewan Negara Lulus Tiga Rang Undang-Undang "