• DBP Sarawak Anjur Karnival Kembali Ke Sekolah

    Published: Wednesday, 27 December 2017
    A- A+
    KUCHING, 27 Dis (Bernama) -- Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak menganjurkan Karnival Kembali ke Sekolah 2017 yang menawarkan diskaun pembelian buku teks sehingga 15 peratus.

    Penolong Pengarah DBP Sarawak Ja'afar Hamdan berkata acara tahunan itu diadakan bermula Jumaat lepas (22 Dis) sehingga Ahad ini (31 Dis).

    Katanya karnival bertujuan untuk memudahkan ibu bapa serta guru mencari buku teks itu diadakan di pejabat DBP Sarawak, Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub, Petra Jaya dekat sini bermula 9 pagi hingga 7 malam.

    "Buku teks yang dijual adalah untuk Tahun Satu-Enam dan Tingkatan Satu-Lima, setiap pembelian buku teks yang diberikan diskaun 15 peratus," katanya di sini hari ini.

    Ja'afar berkata selain buku teks, karnival itu turut menjual buku-buku, kamus dan majalah.

    "Pembelian buku-buku umum juga diberikan diskaun, bagi buku-buku umum yang diterbitkan tahun 2011-2013 (50 peratus); 2014-2015 (40 peratus); 2016-2017 (30 peratus); kamus (10 peratus) malahan ada majalah dijual serendah RM1.

    "DBP berharap ibu bapa dan guru manfaatkan karnival ini kerana inilah masa dan ruang untuk mendapatkan diskaun pembelian," katanya. -- BERNAMA
  • No Comment to " DBP Sarawak Anjur Karnival Kembali Ke Sekolah "