• Dasar Dividen Tinggi TNB Baik Untuk Ekonomi

    Published: Thursday, 7 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Pembayaran dividen yang tinggi oleh syarikat bermodal besar seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), baik untuk ekonomi memandangkan ia merangsang perbelanjaan pengguna dan meningkatkan sentimen pelabur, kata penganalisis.

    Berbilion dana akan mengalir ke dalam sistem, dengan pemegang saham langsung dan pemegang dana akaun institusi dengan pegangan saham syarikat, akan memperoleh lebih banyak wang,” kata Profesor Ekonomi Perniagaan Sunway University, Dr Yeah Kim Leng.

    “Pendapatan yang lebih tinggi daripada dividen akan membantu meningkatkan pendapatan boleh guna. Ini mungkin menyokong momentum pertumbuhan penggunaan, yang meningkat sekitar 7.0 peratus pada suku ketiga tahun ini,” katanya kepada Bernama.

    Sambil memuji pembayaran dividen yang tinggi oleh TNB, Yeah berkata ia akan membantu mengekalkan perbelanjaan pengguna pada 2018.

    TNB mengumumkan pembayaran dividen pada paras tertinggi sebanyak RM3.5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2017.

    Lembaga Pengarah memutuskan untuk meningkatkan julat pembayaran dividen semasa kepada 30-60 peratus daripada dasar pembayaran 30-50 peratus sebelumnya.

    Pada Ogos 2017, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memiliki 11.70 peratus kepentingan ekuiti dalam TNB, Permodalan Nasional Bhd (PNB) (11.08 peratus), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP 5.49 peratus), Lembaga Tabung Haji (1.83 peratus) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (0.15 peratus).

    Seorang penganalisis yang tidak mahu dikenali berkata: “Walaupun majoriti pemegang saham terdiri daripada institusi seperti KWSP, PNB dan KWAP dan syarikat unit amanah, rakyat akhirnya akan mendapat manfaat kerana ia memberikan lebih banyak wang di tangan para pemegang saham atau pemegang unit.

    “Inilah kesannya,” katanya sambil menambah bahawa dasar dividen baharu syarikat utiliti negara itu mencerminkan peningkatan prestasi pelaburan TNB, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh.

    Penganalisis lain percaya bahawa dasar dividen yang lebih tinggi juga menandakan keyakinan terhadap prospek syarikat itu.

    Penganalisis Public Invest Research Ekuity Nur Farah Syifaa ‘Mohamad Fu’ad berkata dasar dividen yang lebih tinggi itu sudah dijangkakan oleh pasaran susulan keuntungan TNB yang semakin meningkat.

    “Kami menjangkakan keuntungan TNB akan terus bertambah, seiring dengan permintaan ke atas bekalan elektrik.
    “Dengan dividen baharu itu, kami memproleh galakan untuk menambah unjuran pembayaran dividen kami daripada 40 peratus kepada 50 peratus bagi tahun kewangan 2018/19,” katanya.

    Sementara itu, penganalisis AllianceDBS Research, Quah He Wei berkata: “Pembayaran dividen yang lebih tinggi itu melebihi jangkaan kami.”

    Semakan semula dasar dividennya menggambarkan keyakinan kukuh yang dimiliki TNB, dengan ketampakan pendapatan berdasarkan pelaksanaan lancar mekanisme melepas kos yang tidak seimbang, katanya.

    Naib Presiden/Ketua Penyelidik Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata dasar dividen baharu itu juga memberi isyarat padu kepada pelabur mengenai kestabilan saham TNB yang menunjukkan prospek perniagaan syarikat utiliti itu pada masa depan.

    “Saham TNB di Bursa Malaysia berada dalam momentum meningkat sejak ia mengumumkan dasar dividen baharu dan saya berharap dasar baharu ini dapat dikekalkan untuk jangka masa yang panjang.”

    Syarikat seperti TNB juga meningkatkan reputasi bursa tempatan sebagai pasaran defensf, katanya.

    Harga saham TNB meningkat ke tahap yang lebih tinggi dalam tempoh setahun yang lalu daripada RM13 kepada RM15.62 pada penutupan Rabu, dengan nilai permodalan pasaran sebanyak RM88.50 bilion. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Dasar Dividen Tinggi TNB Baik Untuk Ekonomi "