• Darurat Sampah Di Pulau Bali

    Published: Friday, 29 December 2017
    A- A+


    KUTA, Bali – Pantai Kuta yang dihiasi pohon palma sekian lama menjadi lokasi pilihan pelancong berjemur dan meluncur ombak tetapi hari ini, pantainya yang indah lenyap di bawah timbunan sampah.

    Penyedut minuman dan bungkusan makanan berselerakan di tepi pantai, manakala peluncur ombak terpaksa mengelak sampah sarap yang dihanyutkan ke laut dari sungai-sungai ataupun dibawa oleh arus laut.


    “Apabila saya mahu berenang, senarionya tidaklah begitu baik. Saya melihat banyak sampah di sana sini pada setiap hari dan setiap masa,” kata pelancong Austria,” Vanessa Moonshine.

    “Sampah sarap ini sentiasa datang dari laut. Ia amat teruk,” tambahnya.

    Kerap kali digelar syurga dunia, pulau percutian Indonesia itu menjadi ‘poster’ memalukan berhubung masalah sampah di Indonesia.

    Apatah lagi, negara yang terdiri daripada lebih 17,000 buah pulau itu merupakan penyumbang kedua terbesar sampah sarap marin di dunia selepas China dengan anggaran 1.29 juta tan sampah datang dari Indonesia pada setiap tahun.

    Sampah plastik yang memenuhi sungai dan lautan sudah lama mendatangkan masalah termasuk menyekat aliran air di bandar, meningkatkan risiko banjir dan mencederakan ataupun membunuh haiwan marin yang sama ada terperangkap atau memakannya.

    Masalah itu menjadi sebegitu buruk sehingga memaksa pihak berkuasa Bali mengumumkan ‘darurat sampah’ di sepanjang kawasan pesisir sejauh 3.7 kilometer pada bulan lalu termasuk pantai popular seperti Jimbaran, Kuta dan Seminyak.

    Pihak berkuasa juga menge­rahkan seramai 700 pekerja pembersihan dan 35 buah lori untuk membuang sekitar 100 tan sampah ke sebuah tapak pembuangan di lokasi berdekatan pada setiap hari.

    “Pekerja memakai seragam hijau mengambil sampah untuk dibuang tetapi pada keesokannya, situasi sama berlaku,” kata warga Jerman, Claus Dignas yang mendakwa dia melihat lebih banyak sampah setiap kali berkunjung ke Pulau Bali.

    Masalah sampah di Bali adalah paling buruk semasa musim hujan monsun apabila angin kuat menolak sampah sarap yang terapung di laut ke pantai dan sungai-sungai yang melimpah pula menghanyutkan sampah dari tebing ke laut. – AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Darurat Sampah Di Pulau Bali "