• Dakwaan Ikan Tilapia ada punca penyakit kanser adalah palsu

    Published: Tuesday, 19 December 2017
    A- A+

    Tular di laman sosial tentang dakwaan yang mengatakan kononnya ikan tilapia membawa penyakit kanser. Kenyataan palsu itu mendakwa ikan tilapia telah diberi makanan yang tidak sihat, bukan dari sumber semula jadi dan tapi berunsurkan berunsurkan Genetically Modified Organism (GMO), yang akan menyebabkan ikan tilapia membawa satu sel kanser.

    Susulan dakwaan itu, Jabatan Perikanan Malaysia tampil mengeluarkan kenyataan yang menyangkal sama sekali akan apa yang diperkatakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Malah, pihaknya memberi jaminan ikan tilapia di Malaysia selamat untuk dimakan.

    Menurut jabatan itu, masih tidak ada artikel saintifik di dalam dan luar negara yang membuat laporan tentang adanya sel kanser pada isi ikan tilapia.

    “Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak langsung mengeluarkan laporan bahawa ikan tilapia mengandungi sel kanser.

    “Tiada artikel saintifik di peringkat dalam dan luar negara berkaitan laporan terdapatnya sel kanser pada isi ikan tilapia,” kata kenyataan itu.

    Malah, jabatan itu memaklumkan tiada isu penggunaan makanan ikan yang dicampur dengan horman dan agen pengalak tumbesaran diamalkan dalam industri ternakan ikan di Malaysia.

    “Ikan tilapia telah dikenali sebagai ayam akuatik berdasar kepada kelebihan ciri-ciri biologi mudah membiak, cepat membesar dan tahan penyakit.

    “Ciri-ciri pemakanannya sebagai herbivor membolehkan ikan ini diternak dengan input makanan tambahan protein yang rendah,” katanya.

    Sementara itu, orang ramai diharap tidak mudah percaya dengan dakwaan tidak benar itu. Orang ramai harus berhati-hati dalam menerima maklumat yang tidak sahih dan mendapatkan pengesahan kepada pihak berwajib terlebih dahulu. –Utaranews

    Subjects:

  • No Comment to " Dakwaan Ikan Tilapia ada punca penyakit kanser adalah palsu "