• Da'i Tegur Kebanjiran Aksi Parodi Lelaki Jadi Wanita

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 18 December 2017
    A- A+


    Kebanjiran aksi parodi dalam kalangan pengguna media sosial, khususnya aksi dan gaya remaja lelaki yang tampil dalam imej wanita dengan lengkap memakai solek dan bertudung semakin menjadi-jadi sehingga menimbulkan kebimbangan ia akan memberi pengaruh negatif dalam kalangan masyarakat.

    Bimbang aktiviti tersebut akan menjadi semakin parah, penceramah agama, Wan Dazrin Wan Din tampil memberi teguran terhadap golongan lelaki terbabit berikutan penularan video-video di laman sosial.

    Tegas Wan Dazrin atau lebih dikenali sebagai Da’i Wan, mana-mana lelaki yang berpakaian atau menyerupai wanita secara sengaja adalah dilarang dalam agama Islam.

    “Maaf. Saya perasan semenjak dua menjak ni banyak video parodi lelaki jadi perempuan.

    “Kalian, Nabi laknat (perbuatan tersebut). Bukan dalam umat Nabi... tiru gaya perempuan (dan) pakai macam perempuan dengan sengaja,” demikian menurut beliau dalam catatan di laman Twitternya, kelmarin.


    Bekas peserta Da'i Pendakwah Milenia musim ke-2 itu turut memetik kitab Fathul Bari: At Tobari, yang berkata laknat bererti haram di sisi agama, sementera menurut Syeikh Abu Muhammad pula hukum bagi perbuatan tersebut adalah berdosa besar.

    Da’i Wan dalam kemaskini tersebut juga memuat naik sedutan rakaman video aksi parodi remaja lelaki menjadi ‘wanita’.

    Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau ketika dihubungi sebuah portal berkata aksi sedemikian bukan sahaja melibatkan maruah diri dan keluarga, malah ia membabitkan maruah agama Islam.

    Da'i Wan menjelaskan beliau bimbang sekiranya aksi tersebut memberi persepsi negatif kepada penganut agama lain terhadap Islam.

    “Lelaki berpakaian dan berlagak seperti perempuan adalah satu kesalahan di sisi agama Islam dan bukan budaya kita.

    "Saya bimbang dengan gejala ini dan malu apabila ada penonton sesama jenis turut meluahkan minat terhadap mereka, malah menyokong aktiviti remaja-remaja lelaki ini,” Da’i Wan dipetik sebagai berkata.

    Beliau menambah, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan memantau aktiviti anak masing-masing kerana bimbang mereka akan terjebak dalam kegiatan tidak bermoral.

    "Dalam hal ini, ibu bapa dan keluarga memainkan peranan penting, kena pantau aktiviti anak-anak. Tengok selalu apa mereka buat dekat telefon itu.

    "Kadang-kadang anak-anak ini leka dengan gajet sampaikan mereka hanyut dengan kehidupan di alam maya dan tak sedar apa yang mereka lakukan itu salah,” katanya, yang sanggup bertemu dengan remaja-remaja terbabit bagi memberikan nasihat.

    "Saya terbuka untuk bertemu mereka dan sebenarnya menegur secara tertutup itu lebih baik.

    "Walaupun ada yang mengecam meminta saya tidak masuk campur tentang hal ini, saya akan tetap bersuara demi masa depan agama dan anak bangsa.”

    Semakan di laman sosial pula mendapati rata-rata pengguna media sosial bersetuju dengan pandangan Da’i Wan, dan menyarankan perbuatan sedemikian dihentikan serta-merta walaupun alasan sebagai ‘hiburan’. -MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " Da'i Tegur Kebanjiran Aksi Parodi Lelaki Jadi Wanita "