• Cuepacs Bagi Dua Cadangan Bantu Penjawat Awam

    Published: Saturday, 9 December 2017
    A- A+


    BESUT - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menimbangkan dua perkara sebagai usaha meringankan beban lebih 1.6 juta penjawat awam dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

    Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya menjangka cabaran lebih berat bakal dihadapi penjawat awam tahun depan berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat dan terpaksa ditampung dengan pendapatan bulanan mereka yang kecil.

    Katanya, walaupun kerajaan memberi sedikit insentif yang dibayar mulai Januari depan, ia didapati tidak dapat meredakan kesempitan hidup kakitangan awam untuk jangka masa panjang, malah hanya berfungsi untuk tempoh yang pendek sahaja.

    Justeru, Azih menambah, Cuepacs mencadangkan kerajaan mempertimbangkan agar setiap kakitangan awam diberi insentif satu kenaikan gaji tahunan yang didahulukan tanpa memansuhkan kenaikan gaji tahunan yang mereka dapat pada tahun yang berkenaan.


    “Cadangan memberi satu kenaikan gaji ini perlu bagi menyeimbangkan kedudukan penjawat awam di peringkat persekutuan dengan negeri-negeri yang kini majoritinya mendapat amaun yang berbeza dalam gaji bulanan mereka,” kata Azih kepada media selepas merasmikan penutupan Kursus Kepimpinan Cuepacs Negeri Kelantan di Institut Latihan Islam Wilayah Timur (ILIM) di sini hari ini.

    Selain itu, Azih berkata, Cuepacs juga meminta kerajaan agar menimbangkan perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada setiap penjawat awam di peringkat negeri terdiri daripada kakitangan badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan.

    Katanya buat masa ini kakitangan awam yang berkhidmat dalam sektor peringkat negeri tidak mempunyai perlindungan berbanding kakitangan peringkat persekutuan yang dilindungi skim ex-gratia dalam menghadapi bencana ketika bekerja.

    Azih menambah walaupun kerajaan terpaksa mengeluarkan sedikit perbelanjaan jika meletakkan mereka di bawah Skim Perkeso, namun ia akan dapat membantu penjawat awam peringkat negeri dan keluarga mereka sekiranya ditimpa bencana ketika bekerja. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Cuepacs Bagi Dua Cadangan Bantu Penjawat Awam "