• Cucu Rompak Nenek Selepas Serang Dengan Bata

    Published: Wednesday, 6 December 2017
    A- A+

    JAKARTA: Seorang lelaki tergamak mencederakan neneknya sendiri dengan memukul warga tua itu dengan batu bata sebelum merompaknya.

    Dalam kejadian di Bekasi, Jawa Barat itu, mangsa cedera di kepala dan muka akibat perbuatan cucunya yang dikenali sebagai Ali Mahmud.

    Ketua Polis Bekasi Timur, Komander Parjana berkata, suspek yang berusia 23 tahun berpura-pura melawat mangsa di kediamannya.

    Bagaimanapun, sebaik pintu dibuka, suspek telah menyerang mangsa dengan memukul kepalanya dengan batu bata.

    "Suspek telah mengambil Rp3 juta (RM854) dan 10 gram barang kemas milik mangsa," katanya seperti dilapor wartakota.tribunenews.com.

    Pembantu rumah mangsa, Nurhasanih, 30, menemui warga tua yang cedera itu dan mendapatkan bantuan jiran untuk membawanya ke hospital.

    Setakat ini, polis masih cuba mengesan Ali yang dikatakan telah melarikan diri.

    Ketua Unit Jenayah, Inspektor Yusron berkata, mangsa semakin pulih daripada kecederaan yang dialaminya.

    "Kami telah mengarahkan pegawai polis untuk memburu suspek dan pada masa sama menggalakkan suspek supaya menyerah diri," katanya.

    Sebagai bukti, polis telah merampas kain, batu bata yang digunakan untuk mencederakan mangsa. Jika disabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sembilan tahun.- The Jakarta Post/Asia News Network

    Subjects:

  • No Comment to " Cucu Rompak Nenek Selepas Serang Dengan Bata "