• CSM Akan Bantu Kesan Penggodam

    Published: Monday, 25 December 2017
    A- A+


    Seperti yang diketahui umum, di negara kita mempunyai agensi yang ditugaskan untuk mengekang aktiviti menggodam laman sosial iaitu SKMM, CSM dan PDRM malah ketiga-tiga agensi terbabit saling bekerjasama.

    Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Datuk Amirudin Abdul Wahab berkata, bagaimanapun tugasan yang dilakukan oleh CSM lebih kepada mengesan penggodam juga lokasi mereka melakukan jenayah siber ini.

    Katanya, CSM turut berperanan memantau akaun-akaun laman sosial yang dipercayai mengandungi unsur-unsur yang boleh membawa kepada kesan negatif, termasuklah ancaman ketenteraman awam.

    “Selain itu, kita juga akan melakukan program kesedaran dan pendidikan berkaitan ancaman siber ini, yang akan dilakukan bersama dengan SKMM seperti Cyber Security Awareness for Everyone (CyberSafe).

    “Bagi menjalankan siasatan terhadap aktiviti penggodam ini, kita nasihatkan kepada mangsa supaya membuat dahulu laporan polis, siasatan hanya dapat dilakukan sekiranya ada laporan polis oleh mangsa,” katanya.

    Katanya, SKMM pula lebih berperanan untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang menggodam dalam masa sama mengubah data yang tersedia dalam sesebuah laman sosial, bertujuan untuk menghasut, menghina serta menyampaikan sesuatu yang tidak benar.

    Tambahnya, bagi polis pula tugasan mereka menjurus kepada kegiatan berunsur jenayah yang boleh mengganggu gugat ketenteraman, perbuatan yang mendatangkan kerugian kepada mangsa, selain penipuan membabitkan perniagaan dalam talian.

    “Bagaimanapun, kepada semua mangsa aktiviti menggodam laman sosial ini, boleh berhubung dengan kami, dan kami akan membantu membuat laporan kepada pengendali operator laman sosial terlibat untuk tindakan selanjutnya.

    “Antara tindakan yang dilakukan ialah memadamkan akaun yang digodam, selain membantu menyediakan laporan salah guna,” katanya.

    -Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " CSM Akan Bantu Kesan Penggodam "