• China Tutup 13,000 Laman Web Sejak 2015

    Published: Monday, 25 December 2017
    A- A+

    BEIJING: China menutup atau membatalkan lesen 13,000 laman web sejak 2015, didakwa melanggar peraturan internet negara itu, lapor media tempatan, hari ini.

    Kerajaan Komunis negara itu terus mengetatkan peraturan internet yang sedia tegas, tindakan dianggap pengkritik semakin diperhebat sejak Presiden Xi Jinping berkuasa pada 2012.

    Agensi Xinhua berkata, hampir 10 juta akaun pengguna media sosial ditutup kerana didakwa 'melanggar protokol perkhidmatan.'

    "Tindakan ini mempunyai kuasa pencegahan berkesan," Xinhua memetik Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), Wang Shengjun sebagai berkata.

    Meskipun diakui pengguna internet terbesar dunia, satu laporan dikeluarkan kumpulan pemikir Amerika Syarikat (AS), Freedom House mendapati, China memiliki dasar penggunaan internet paling ketat berbanding 65 negara lain yang dikaji mereka, diletakkan di kedudukan bawah Iran dan Syria.

    Tahun ini saja, ia menguatkuasakan peraturan baharu mensyaratkan syarikat teknologi asing menyimpan data pengguna dalam negara, melaksanakan sekatan kandungan baharu dan menjadikannya sukar menggunakan perisian yang membolehkan pengguna mencari jalan memintas tapisan.

    Google, Facebook, Twitter dan akhbar The New York Times antara yang disekat di China, begitu juga laman web asing tidak terkira jumlahnya.

    Beijing tegas mempertahankan apa yang digelarnya sebagai 'kedaulatan siber' sekali gus melakukan tapisan ke atas pelbagai laman web dengan alasan melindungi keselamatan negara.

    Dalam China, semua laman web wajib berdaftar dengan pihak berkuasa dan bertanggungjawab memastikan kesahihan maklumat disiarkan di platform seperti ditetapkan peraturan berkuat kuasa sejak 2000.

    Kandungan didapati melanggar syarat pihak berkuasa berdepan kemungkinan ditutup atau didenda. -AFP

    Subjects:

  • No Comment to " China Tutup 13,000 Laman Web Sejak 2015 "