• China Sokong Palestin Yang Berdaulat, Merdeka

    Published: Thursday, 14 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Penyelesaian dua negara sebagai asas politik dalam mengakhiri krisis Palestin-Israel menjadi antara empat cadangan akan dilaksanakan China membabitkan isu pertikaian sedia ada.

    Cadangan lain dikemukakan Presiden Xi Jinping dalam peranan membina negara itu ialah memegang konsep keselamatan secara umum, komprehensif dan kerjasama, terus menyelaras usaha masyarakat antarabangsa dan melaksanakan dasar perkembangan secara keseluruhan dalam mengekalkan keamanan.

    Kenyataan dikeluarkan pejabat Kedutaan China di Malaysia menyebut, republik itu mengikuti perkembangan isu Baitulmaqdis dan beberapa kali menyatakan pendirian berhubung perkara berkenaan selepas Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf kota itu sebagai ibu negara Israel, 6 Disember lalu.

    Keprihatinan dan kebimbangan terhadap kedudukan Baitulmaqdis juga pernah disuarakan jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (MFA) China pada persidangan kewartawanan yang berlangsung selama dua hari bermula 6 Disember lalu.

    Jurucakap itu menegaskan, status Baitulmaqdis adalah kunci terhadap perselisihan antara Palestin dan Israel.

    "Isu itu sangat rumit dan sensitif kerana berkait rapat dengan perasaan perkauman serta agama," katanya.

    Kedutaan China di Malaysia menjelaskan, isu Palestin perlu diselesaikan menerusi saluran dialog bersandarkan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) manakala penyelesaian dua negara masih dianggap akses asas supaya perselisihan dapat diselesaikan.

    "China menyokong proses keamanan Asia Barat secara teguh, menyokong penyelesaian isu Asia Barat termasuk kedudukan Baitulmaqdis menurut resolusi PBB, menyokong penubuhan Palestin yang berdaulat dan merdeka melalui sempadan 1967 berasaskan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota.

    "Pendirian China tidak akan berubah. China akan memainkan peranan secara bertanggungjawab dan membina dalam proses penyelesaian isu Palestin sebagai Anggota Tetap Jawatankuasa Keselamatan PBB.

    "Kuasa Usaha Misi Tetap Republik Rakyat China ke PBB, Duta Besar Wu Haitao, pada 8 Disember lalu menegaskan pendirian China bahawa perubahan unilateral sebarang pihak akan merosakkan asas menyelesaikan isu Palestin.

    "Ia juga boleh menyebabkan tentangan dan kekecohan baharu di rantau ini," kata kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu, Menteri Luar China, Wang Yi, turut menyatakan pendapat ketika menghadiri persidangan bertajuk `Situasi Global dan Diplomasi China'.

    Antara lain, beliau menegaskan China sentiasa menyokong rakyat Palestin untuk memulihkan hak perundangannya, menyokong penubuhan Palestin yang berdaulat dan merdeka melalui sempadan 1967 berasaskan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " China Sokong Palestin Yang Berdaulat, Merdeka "