• Cadangan Kerajaan DAP P.Pinang Tambak Laut Dibantah

    Published: Wednesday, 27 December 2017
    A- A+

    Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan membantah cadangan Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk menambak laut bagi membentuk tiga pulau buatan di Permatang Damar Laut, Teluk Kumbar.

    Malah, Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut memberi jaminan akan menggunakan segala ruang dan kuasa yang ada pada kementeriannya untuk membantah projek itu termasuk menggesa Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) menolaknya.

    Menurut beliau, cadangan menambak laut seluas 1,800 hektar itu memberi impak buruk yang sangat besar bukan hanya kepada golongan nelayan di negeri ini malah paling utama eksosistem dan hidupan laut di kawasan berkenaan.

    Dalam masa sama, beliau menegaskan pihaknya sehingga kini belum menerima sebarang laporan teknikal berhubung projek itu sama ada dari sudut perikanan; sosioekonomi atau politik kesan daripada pelaksanaannya.

    “Projek ini juga akan menyebabkan ‘continental shelves’ (tebing benua) Pulau Pinang berubah.

    “Ini juga akan melibatkan persempadan dan wilayah negara kita di laut disebabkan wujudnya daratan yang baharu.

    “Persoalannya adakah Indonesia akan membenarkan kita memanjangkan persempadan laut kita dan ini pastinya melibatkan perundangan antarabangsa,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis jamuan rakyat bersama penduduk setempat dan komuniti nelayan di sekitar Teluk Kumbar hari ini.

    Dalam majlis sama, Wan Junaidi turut menerima nota bantahan mengenai cadangan tambak laut di kawasan itu daripada Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Mahadi Md. Rodzi.

    Projek menambak laut seluas lebih 1,800 hektar itu bertujuan membentuk tiga buah pulau buatan yang kemudiannya akan dijual Kerajaan DAP Pulau Pinang sebagai modal bagi menampung kos pelan induk pengangkutan (PIP) negeri bernilai RM46 bilion.

    Dalam pada itu, Wan Junaidi menggesa Kerajaan DAP Pulau Pinang supaya tidak membelakangkan laporan kesan penilaian alam sekitar (EIA) dalam pelaksanaan projek berkenaan.

    Katanya, projek itu jika diteruskan tanpa mendapat kelulusan MPFN akan dianggap melanggar undang-undang meskipun kerajaan negeri beranggapan mempunyai kuasa untuk meneruskannya.

    “Saya menyeru supaya kerajaan negeri jangan berlandaskan perlembagaan sahaja, lihat undang-undang persekutuan dan negeri yang ada khususnya EIA, sama ada EIA bagi projek ini sudah diluluskan atau tidak,” katanya.-BNBBC

    Subjects:

  • No Comment to " Cadangan Kerajaan DAP P.Pinang Tambak Laut Dibantah "