• Cadangan Buka Kedutaan Besar Malaysia Di Palestin Akan Dibincang Dalam Kabinet

    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+
    Foto Kosmo
    KUALA LUMPUR - Keperluan Malaysia membuka Kedutaan Besar di Palestin dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang akan datang, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata pandangan jemaah Menteri serta pelbagai pihak lain, terutamanya dari aspek ekonomi dan keselamatan, perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

    Beliau berkata mesyuarat Kabinet hari ini, yang merupakan mesyuarat terakhir bagi tahun ini, belum membincangkan tentang perkara itu.

    "Tunggu PM (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) balik dahulu (dari lawatan rasmi ke beberapa negara). Ini akan jadi agenda 2018," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan Turki untuk membuka kedutaannya di Baitulmuqaddis bagi mengiktiraf kota suci itu sebagai ibu negara Palestin.

    Dalam pada itu, Hishammuddin berkata semua pihak termasuk parti-parti pembangkang perlu menyertai Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis di Masjid Putra, Putrajaya pada Jumaat ini memandangkan isu Palestin sepatutnya merentasi pertimbangan politik.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata sebanyak 250 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk NGO bukan Islam serta parti-parti politik akan menyertai himpunan itu yang turut dihadiri Najib serta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

    Himpunan itu diadakan bagi membantah keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel menimbulkan kemarahan dan kutukan masyarakat Islam di seluruh dunia. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Cadangan Buka Kedutaan Besar Malaysia Di Palestin Akan Dibincang Dalam Kabinet "