• Cabul lebih 100 atlet

    Published: Friday, 8 December 2017
    A- A+


    LOS ANGELES: Bekas doktor pasukan gimnastik Amerika Syarikat (AS), Larry Nassar yang dituduh melakukan serangan seksual ke atas lebih 100 gadis dijatuhkan hukuman penjara 60 tahun, semalam atas kesalahan pornografi kanak-kanak.

    Nassar, mungkin terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di dalam penjara sebaik menjalani hukuman berkenaan, bulan depan.

    Dia dituduh mencabul lebih daripada 100 atlet perempuan sepanjang tiga dekad berkhidmat sebagai doktor pasukan gimnastik berkenaan.

    Bekas pemenang pingat emas Sukan Olimpik, McKayla Maroney, Aly Raisman dan Gabby Douglas adalah antara ahli pasukan yang mendakwa diserang secara seksual oleh Nassar.

    Kes Nassar ialah sebahagian daripada skandal yang memaksa ketua pasukan gimnastik AS, Steve Penny meletakkan jawatan, Mac lalu selepas didakwa gagal bertindak segera dan melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa.

    Pasukan gimnastik AS kini mengamalkan dasar 'keselamatan sukan', susulan skandal Nassar yang mewajibkan laporan mandatori dibuat setiap kali penderaan seksual disyaki berlaku.

    Satu saman mewakili 100 mangsa Nassar turut difailkan dan peguam mereka, John Manly menjangkakan jumlah mangsa mungkin boleh mencecah sehingga 160 orang. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Cabul lebih 100 atlet "