• Buru ‘Lelaki Alim’ Jual Perempuan

    Published: Thursday, 28 December 2017
    A- A+


    MUMBAI – Polis memburu seorang lelaki yang kononnya pemimpin spiritual kerana memperdagang dan menghambakan puluhan wanita termasuk bawah umur di beberapa ashram di New Delhi dan sekitar India, kata pihak berkuasa, dalam kes terbaru membabitkan penderaan seksual oleh orang yang dianggap ketua agama.

    Lebih 100 wanita dan budak perempuan ditemui terkunci dalam bilik di beberapa ashram di sekitar ibu negara India itu, Selasa lalu, yang turut termasuk kanak-kanak bawah umur, kata peguam Ajay Verma.

    “Bilik tempat mereka ditemui dikunci daripada luar dan pihak kami terpaksa memecahkannya untuk menyelamatkan mereka,” katanya.

    Susulan itu, polis memburu pemimpin agama berkenaan, Virendra Dev Dikshit yang sudah menghilangkan diri. Ia kes terbaru membabitkan ‘ketua agama’ yang mencari mangsa dalam kalangan pengikut mereka.

    Beberapa bulan lalu, seorang ‘lelaki alim’ yang dikatakan mempunyai lebih sejuta pengikut dipenjara selepas didapati bersalah merogol dua wanita dalam keputusan yang turut mencetuskan rusuhan oleh pengikutnya.

    Jurucakap polis Swati Maliwal berkata, mangsa diumpan untuk belajar kerohanian daripada suspek.

    “Kami menemui mereka dalam kurungan tidak ubah seperti lokap dan tiada rekod identiti mereka atau berapa lama sudah ditahan di situ.

    “Malah kami berpendapat dia menjalankan rangkaian pemerdagangan seks. Semua ashram miliknya kini perlu diperiksa dan siasatan mendalam dilakukan,” katanya. – Reuters/myMetro Online

    Subjects:

  • No Comment to " Buru ‘Lelaki Alim’ Jual Perempuan "