• Bunuh: Penjual Ikan Berdepan Hukuman Gantung

    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+


    SUNGAI PETANI - Seorang penjual ikan berusia 19 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pengutip hutang, dua minggu lalu.

    Tertuduh, Muhammad Amirul Khairol Nizam mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Fared Abd. Latif.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

    Muhammad Amirul didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Liu Chee Wei, 25, pada 4 Disember lalu antara pukul 2.30 petang hingga 3.30 petang pada 4 Disember lalu di kawasan Taman Arked, di sini.

    Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 21 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.

    Akhbar pada 5 Disember lalu melaporkan seorang lelaki ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tikaman pada dada di belakang sebuah rumah teres di Taman Arked, di sini.

    Mangsa ditemukan oleh seorang suri rumah selepas terdengar suara mengerang kesakitan di belakang rumahnya.

    Motif kejadian dipercayai akibat hutang yang mana suspek dikatakan berhutang sebanyak RM2,000 dengan mangsa dan perlu membayar hutang tersebut sebanyak RM26 sehari. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Bunuh: Penjual Ikan Berdepan Hukuman Gantung "