• Buaya 'bersidai' cetus kebimbangan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+


    MUKAH: Kehadiran 'sang bedal', dengan kebanyakannya bersaiz dewasa, berjemur di Pantai Kuala Matu, di sini sejak kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan, dalam kalangan penduduk yang beriadah di kawasan itu.

    Tinjauan BH mendapati kehadiran sekurang-kurangnya dua atau tiga ekor buaya di pantai popular itu, dengan setiap satunya berukuran tiga hingga empat meter, dengan anggaran berat antara 100 hingga 120 kilogram.

    Kehadiran reptilia ganas itu turut mengundang kegusaran dalam kalangan nelayan setempat, terutama yang menangkap ikan di pesisir Pantai Kuala Matu.

    Penduduk, Suhaili Mohamad, 38, berkata kumpulan buaya berkenaan sering kelihatan sejak kebelakangan ini, terutama ketika air surut, sekali gus mencetuskan perasaan gerun dalam kalangan penduduk setempat untuk berkelah di pantai.

    "Ketika ini, reptilia itu tidak menganggu penduduk setempat, namun saiznya yang agak besar cukup membuatkan kita berasa gerun. Malah, kemunculannya di kawasan pantai ini turut memperlihatkan kawasan terbabit menjadi 'laluan' buaya yang aktif.

    "Ini tentunya membuatkan penduduk setempat berasa bimbang untuk mandi-manda di kawasan pantai, termasuk berkelah atau melakukan aktiviti riadah lain," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

    Beliau berkata, kejadian itu yang pertama seumpamanya dilaporkan berlaku di Pantai Kuala Matu, malah penduduk setempat percaya kumpulan buaya itu berasal dari tempat lain.

    "Kita percaya kehadirannya hanya untuk berjemur di pantai ini. Namun, kita berharap agensi berkaitan dapat memantau keadaan itu sebelum sebarang insiden tidak diingini berlaku.

    "Biarpun ia setakat ini tidak mengancam keselamatan, namun kita bimbang sekiranya berlaku konflik antara haiwan itu dan penduduk setempat, terutama masyarakat nelayan yang sering menangkap ikan di pesisir pantai ini," katanya.

    Sementara itu, Penghulu Kuala Matu, Lai Elan Sabeli menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi melindungi keselamatan penduduk setempat, terutama nelayan yang mencari rezeki di tempat berkenaan.

    "Besar kemungkinan buaya berkenaan berasal dari kawasan hulu Sungai Matu, yang mungkin tersesat atau datang ke kawasan pantai untuk berjemur. Apa yang kita bimbangkan, kawasan pantai ini kerap dikunjungi orang ramai.

    "Kita sudah merujuk perkara ini kepada pihak yang berkaitan dan berharap tindakan susulan dapat dilakukan segera," katanya.-BHOnline
  • No Comment to " Buaya 'bersidai' cetus kebimbangan "