• Buat Dosa Depan Anak

    Published: Thursday, 28 December 2017
    A- A+

    Wanita berstatus isteri orang tergamak membawa anak lelaki berusia empat tahun untuk bermalam bersama kekasihnya di sebuah hotel bajet di Senawang, Seremban.

    Perbuatan wanita berusia 31 tahun itu terbongkar selepas dia ditahan bersama lelaki berusia 29 tahun di dalam bilik hotel berkenaan hasil pemeriksaan dilakukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), pada Isnin lalu.

    Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata, mereka antara tujuh pasangan berusia 19 hingga 48 tahun yang ditahan kerana kesalahan percubaan persetubuhan haram.

    Menurutnya, serbuan dilakukan di tiga lokasi berasingan di Bandar Baru Nilai dan Senawang menerusi Op Bersepadu Krismas yang bermula 9 malam hingga 6 pagi.

    "Ketika ditahan wanita terbabit mengakui membawa anaknya bermalam di hotel berkenaan kerana dalam proses perceraian dengan suaminya. Terdapat juga pasangan bukan warga negara iaitu warga Bangladesh dan Indonesia beragama Islam yang ditahan melakukan kesalahan sama.

    "Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Penguat Kuasa JHEAINS untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 61(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Dalam operasi dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu, Ahmad Zaki berkata, pihaknya turut menahan lima lelaki beragama Islam kerana disyaki minum arak.

    Katanya, semua yang berusia antara 32 hingga 21 tahun terbabit ditahan di dua pusat hiburan keluarga di Bandar Baru Nilai.

    "Kes disiasat mengikut Seksyen 78 enakmen sama kerana minum minuman memabukkan," katanya.

    Beliau berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemeriksaan dan serbuan secara mengejut bagi mengelak ada individu beragama Islam yang melakukan kesalahan mengikut enakmen berkenaan.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Buat Dosa Depan Anak "