• BR1M Trending Di Google Sepanjang 2017

    Published: Friday, 15 December 2017
    A- A+


    Semalam laman carian terkemuka, Google mengeluarkan senarai carian dalam laporan Google Trend yang biasa dikeluarkan setiap tahun. Laporan ini menampilkan senarai carian rakyat di negara-negara di seluruh dunia yang menggunakan Google. Laporan berkenaan turut menyentuh tentang trend carian di Malaysia dan ia dipecah kepada beberapa kategori. Namun terdapat satu perkara yang jelas menarik perhatian apabila kita meneliti laporan yang disediakan Google.

    Berdasarkan kepada laporan berkenaan kata kunci yang paling banyak dicari oleh rakyat Malaysia sepanjang tahun 2017 ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Ini merupakan satu perkembangan positif kepada dasar penting Kerajaan yang dilihat berjaya mengurangkan beban kewangan golongan berpendapatan rendah. Melalui data Google kebanyakan rakyat Malaysia yang menggunakan kata kunci BR1M mencari maklumat berkaitan pengemaskinian maklumat BR1M untuk 2018. Ini juga menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia sebenarnya menghargai BR1M dan sentiasa menunggu perkembangan mengenai bantuan berkenaan.

    Berdasarkan kepada pecahan mengikut negeri, lima negeri tertinggi yang ‘mencari’ maklumat BR1M di Google ialah Sabah, Sarawak, Kelantan, Wilayah Persekutuan Labuan dan Terengganu. Program bantuan kewangan yang diterapkan Kerajaan ini selalu mendapat kritikan hangat daripada pihak pembangkang, malah ada antara mereka yang menyifatkan BR1M sebagai tidak memberi manfaat besar kepada rakyat, namun semasa pembentangan Bajet 2018, pihak pembangkang juga dilihat sudah berpatah balik dalam isu BR1M apabila mula mengakui keberkesanan program ini.

    Pelanjutan BR1M untuk tempoh seterusnya tahun ini banyak memberi kelegaan kepada rakyat yang memerlukan. Malah wang BR1M dilihat membantu kepada rakyat untuk menampung keperluan hidup dan memberi sedikit keselesaan dalam menjalani kehidupan setiap hari. Berdasarkan kepada laporan yang dikeluarkan oleh Google ini, tiada mana-mana carian berkaitan BR1M boleh dikaitkan dengan pandangan negatif rakyat, sebaliknya ia dilihat sebagai satu bentuk penerimaan yang menyeluruh.

    Laporan Google berhubung BR1M ini melihatkan bagaimana rakyat kini mula menghargai BR1M sebagai sebahagian daripada program sokongan ekonomi untuk kesejahteraan hidup rakyat. Malah BR1M kini dinilai sebagai salah sebuah program yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh rakyat secara keseluruhannya. Keupayaan Kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan dan keupayaan untuk meluaskan pelaksanaan BR1M kini mendapat sokongan penuh rakyat.

    BR1M kini menjadi satu jenama yang popular dan idea bernas daripada YAB Perdana Menteri ini bakal memberikan nilai tambah kepada kekuatan Kerajaan sedia ada apabila mampu meraih sokongan rakyat yang menghargai bantuan berkenaan. Amat jarang untuk program atau dasar Kerajaan menerima sambutan hangat dan muncul sebagai kata kunci paling trending di Internet. Namun lain kisahnya dengan BR1M dan sambutan hangat ini ialah satu cabaran untuk Kerajaan terus bekerja keras bagi meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat. - MalaysianAccess

    Subjects:

  • No Comment to " BR1M Trending Di Google Sepanjang 2017 "