• Bottas Utama Prestasi Berbanding Hal Undian

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    PARIS: Valtteri Bottas enggan memikirkan mengenai tindakan segelintir ketua pasukan Formula Satu (F1) yang sekadar mengundi pemandu Mercedes itu di kedudukan ke-10 biarpun memenangi tiga perlumbaan tahun ini dan menamatkan saingan di tangga ketiga keseluruhan.

    Kedudukan itu satu tangga lebih rendah berbanding ketika pemandu Finland berkenaan menggalas cabaran bersama Williams pada 2016.

    "Saya tidak terlalu fikir mengenainya sama ada saya dinilai dengan salah atau apa saja. Perkara yang paling penting untuk saya adalah prestasi ketika di litar. Berapa banyak perlumbaan akan saya menangi pada masa depan.

    "Perkara utama adalah untuk pasukan kerana mereka tahu tahap prestasi sebenar kamu. Mereka tahu apa yang saya mampu lakukan," kata Bottas yang menyertai Mercedes pada Januari bagi menggantikan Nico Rosberg selepas juara dunia 2016 itu bersara.

    Secara berseloroh, pemandu Finland itu berharap ketua pasukannya, Toto Wolff tidak mengundi dia di kedudukan ke-10 dalam undian yang dijalankan oleh motorsport.com.

    Bottas turut meraih petak hadapan sebanyak tiga kali dan menaiki podium sebanyak 13 kali tetapi dia juga mengelami detik sukar musim ini apabila bergelut dengan prestasi tidak menentu terutama selepas cuti bulan Ogos dan jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan rakan sepasukannya, Lewis Hamilton.

    Hamilton yang mengungguli undian dengan margin yang besar memenangi sembilan perlumbaan dan meraih gelaran juara dunia keempatnya.

    Pemandu Britain itu memuji rakan sepasukan baharunya kerana berjaya membawa harmoni dalam pasukan berbanding ketika dia bergandingan dengan Rosberg.

    "Saya fikir sebagai pemandu saya banyak belajar. Ada masanya saya dapat belajar sesuatu yang sukar, saya bergelut dalam beberapa perlumbaan dengan jentera dan pemanduan saya," kata Bottas. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Bottas Utama Prestasi Berbanding Hal Undian "