• Bomoh Temberang Dipenjara 15 Bulan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+

    KUCHING – Temberang tiga wanita warga asing sebagai bomoh palsu memperdaya seorang wanita di Lorong Satu, Pekan Siburan pada 11 Disember lalu berbalas apabila dihukum penjara selama 15 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan menipu.

    Majistret, Zuraidah Sharkawi menjatuhkan hukuman itu selepas ketiga-tiga tertuduh, Li Rui­wen, 50, Li Jinrong, 39, dan Augustini, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

    Ruiwen dan Jinrong merupakan warga China manakala Augustini pula warga Indonesia.

    Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh, Fery, 47, iaitu lelaki warga Indonesia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

    Zuraidah kemudiannya menetapkan sebutan semula kes terhadap Fery pada 23 Januari dan perbicaraan pada 8 Februari tahun hadapan.

    Kesemua tertuduh didakwa menipu Phang Sia Feng, 57, dengan mengaku diri mereka sebagai bomoh yang dapat memberi rawatan membuang musibah yang kononnya bakal melanda keluarga mangsa.

    Kesemua tertuduh kemudiannya meminta pengeras sebagai rawatan proses perubatan tersebut.

    Mangsa yang terpedaya kemudiannya pergi ke sebuah bank untuk mengeluarkan duit simpanan serta barang kemasnya berjumlah RM13,000 sebagai pengeras.

    Semua tertuduh kemudian memberikan satu bungkusan yang dikatakan berisi duit serta barang mangsa.

    Tertuduh kemudiannya memberitahu mangsa bahawa bungkusan itu perlu dibuka selepas tiga hari.

    Selepas tiga hari, mang­sa kemudiannya membuka bungkusan itu dan terkejut kerana hanya mengandungi botol air mineral dan beberapa helai surat khabar.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama yang membawa hukuman penjara, sebat dan denda.

    Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Rogayah Rosli, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.-Kosmo
  • No Comment to " Bomoh Temberang Dipenjara 15 Bulan "