• BNM Keluarkan Syiling Ulang Tahun Arkib Negara

    Published: Monday, 4 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) menyeluarkan duit syiling peringatan sempena ulang tahun ke-60 Arkib Negara Malaysia tahun ini.

    Dalam kenyataan, BNM berkata, duit syiling itu, yang dilancarkan oleh Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Azemi Abdul Aziz hari ini, ditampilkan dalam dua spesifikasi, iaitu perak berwarna (pruf) dan emas Nordic.

    “Duit syiling berwarna (pruf) ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram.

    “Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM230 sekeping. Jumlah tempaan adalah sebanyak 500 keping,” menurut BNM.

    BNM berkata, nilai muka duit syiling emas Nordic pula ialah RM1 manakala harga jualannya RM10 dan jumlah tempaan sebanyak 10,000 keping.

    Semua harga adalah tertakluk kepada enam peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan.

    Contoh duit syiling itu akan dipamerkan kepada orang ramai mulai Selasa 12 Disember 2017 di Muzium dan Galeri Seni BNM serta di pejabat BNM di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu.

    BNM berkata, bagi memberikan peluang yang sama rata kepada orang ramai membeli duit syiling edisi terhad ini, pembelian akan dihadkan – satu set dua dalam satu, satu duit syiling perak berwarna dan tiga duit syiling emas Nordic bagi setiap pembeli.

    BNM berkata, selain itu untuk memudahkan pembelian duit syiling peringatan ini, orang ramai boleh membuat tempahan melalui kemudahan tempahan dalam talian yang baharu.

    Maklumat lanjut tentang kemudahan tempahan dalam talian, tempahan dan tempoh pengambilan akan diumumkan kepada orang ramai melalui siaran akhbar sebelum tarikh jualan, menurut BNM. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " BNM Keluarkan Syiling Ulang Tahun Arkib Negara "