• Bintulu, Miri Dan Limbang Dilanda Banjir

    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+
    Foto Utusan Online
    KUCHING - Hujan lebat luar biasa dan air pasang sejak malam tadi, telah mengakibatkan beberapa kawasan di bahagian Miri, Bintulu dan Limbang dilanda banjir pada pagi ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat memberitahu, selain tiga bahagian terbabit, penduduk di lain-lain bahagian di negeri ini turut diminta berjaga-jaga kemungkinan bakal menghadapi bencana banjir, ekoran mengalami keadaan cuaca sama ketika ini.

    Beliau berkata, di Bintulu, seramai 22 mangsa dari lima keluarga di Kampung Sebuan Besar, Jepak dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan di Dewan Serbaguna BDA setelah kediaman mereka di naiki air.

    "Di Kampung Batu 1, Kuala Baram di Miri pula, nelayan terpaksa memindahkan bot ke tepi jalan bagi mengelak dihanyut ombak, manakala air pasang turut membawa kekotoran naik ke darat menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa menjalankan kerja pembersihan," katanya ketika dihubungi, di sini pagi ini.

    Kata jurucakap berkenaan, setakat ini, penduduk Limbang paling ramai yang terjejas dengan kejadian banjir, tanah runtuh dan pokok tumbang,

    Beliau berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang telah menerima panggilan kecemasan memaklumkan berlaku kejadian tanah di Kampung Bakol dan pokok tumbang di Kampung Malaganggai.

    Tambahnya, tujuh kawasan iaitu Kampung Tegarai, Kampung Tabahan, Kampunh Pundut, Kampung Berawan, Kampung Sungai Poyan, Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai dan Kampung Sembiling pula dilanda banjir.

    "Pada masa sama, jalan menuju ke Rumah Panjang (RH) Assan, RH Lucy, RH Tan dan SK Bukit Batu turut dinaiki air dan tidak dapat diakses oleh kenderaan.

    "Terdapat beberapa kawasan rumah panjang terjejas akibat banjir dan pusat pemindahan akan dibuka pada bila-bila masa," katanya. - UTUSAN ONLINE


  • No Comment to " Bintulu, Miri Dan Limbang Dilanda Banjir "