• 'Bidadari Tanpa Sayap' Jadi Inspirasi

    Published: Wednesday, 6 December 2017
    A- A+

    Wanita orang kurang upaya (OKU) dari Haifei, China menjadi inspirasi kepada jutaan pengikut dengan berkongsi pengalaman kehidupannya menerusi siaran langsung atau ‘livestream’ setiap hari.

    Menurut laporan Xinhua, apa sahaja yang boleh dilakukan orang biasa seperti membasuh, memasak, makan, membeli-belah dan menyolek boleh dilakukan Yang Li, 27, menggunakan kakinya.

    “Saya belajar menyolek di universiti. Rakan saya semuanya menggayakan kening dan memakai gincu dan mereka nampak cantik,” katanya.

    Yang kehilangan kedua-dua lengannya akibat kemalangan kabel voltan tinggi pada umur empat tahun.

    Ibunya mengajarnya menggunakan kaki untuk melaksanakan kerja yang dianggap mustahil kepada orang lain seperti makan dengan penyepit, memberus gigi dan menulis.

    Yang masih ingat waktu dia menghabiskan makanan dalam masa dua jam selain menggunakan kaki untuk menyelesaikan kerja sekolah pada musim sejuk dengan suhu -5 Celsius.

    Namun, ibunya selalu meberitahunya, perkara yang sukar akan menjadi mudah.

    "Ketika itu, ibu mengajar saya untuk berdikari supaya dapat menjaga diri apabila berseorangan satu hari nanti," katanya.

    Kaki dan tulang belakang Yang menjadi cacat selepas amalan 20 tahun ini dan kerja keras.

    "Selepas kemalangan itu, ibu berhenti kerja untuk menjaga saya dan ayah terpaksa menanggung keluarga seorang diri.

    "Sekarang mereka sudah tua dan saya tidak mahu menjadi beban kepada mereka lagi. Saya perlu menjalani hidup saya sendiri.

    "Saya juga mahu membuktikan nilai saya kepada masyarakat," katanya.

    Yang kini bekerja di Bengnu, Anhui. Ketika waktu makan tengah hari, beliau menggunakan aplikasi 'livestream' di telefon pintarnya untuk menunjukkan cara dia mengatasi kecacatannya dan berdikari.

    Selalunya, Yang memegang telefon dengan satu kaki ketika bercakap mengenai kehidupannya.

    Beliau juga menunjukkan kawasan tempat tinggalnya kepada pengikut dengan meletakkan telefon pintar pada dada menggunakan 'stabilizer.'

    Video pertama yang dikongsikan, Julai lalu tular dan pengikutnya meningkat kepada lebih 2 juta orang yang memanggilnya "bidadari tanpa sayap" dan "saudari inspirasi."

    "Saya tak menyanyi, berjenaka atau berpura-pura comel seperti pengacara lain. Saya hanya menunjukkan kehidupan saya," katanya.

    Walaupun dia tidak pernam meminta hadiah atau ganjaran daripada pengikutnya, sesetengah orang mengkritiknya kerana mengambil kesempatan daripada kecacatannya untuk mengemis.

    Namun, Yang berkata, komen itu tidak menjejaskannya.

    "Orang biasa boleh membuat siaran langsung, kenapa saya tak boleh? Saya tidak terjejas dengan komen itu.

    "Kebanyakan orang memberi galakan kepada saya. Saya dapat rasai penghormatan dan kebaikan mereka. Sebagai OKU, saya mendapat pengiktirafan daripada masyarakat yang diingin sejak zaman kanak-kanak," katanya.

    “Bidadari tanpa sayap" ini juga ingin menyebarkan mesej kebaikan menerusi kehidupannya.

    "Jika saya menjatuhkan sesuatu di jalan selalu ada seseorang yang membantu saya, saya berkongsi detik-detik dalam video saya supaya lebih banyak orang dapat mengalami kebaikan ini," katanya.

    Bagaimanapun, ini bukan kali pertama Yang Li, 27, mendapat perhatian ramai selepas mengambil peperiksaan kemasukan universiti yang dikenali sebagai ‘gaokao’ menggunakan kakinya.

    Beliau bangga diterima untuk belajar di Anhui Agricultural University pada 2007 dan kini bekerja sendiri di Bengbu.-Xinhua

    Subjects:

  • No Comment to " 'Bidadari Tanpa Sayap' Jadi Inspirasi "