• Berita Israel-Palestine Bakal Gugat Keharmonian Sarawak - Netizen

    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+
    gambar hiasan

    KUCHING: Sejumlah pengguna media sosial atau netizen di negeri ini meluahkan kebimbangan terhadap laporan berita berkaitan isu terkini Israel dan Palestine yang disiarkan portal berita atas talian dengan beranggapan ianya merupakan satu ancaman provokasi yang mampu menggugat keharmonian kaum dan agama di Sarawak.

    Menurut netizen, media yang berkaitan Sarawak tidak sepatutnya menyiarkan laporan berita berkaitan pengisytiharan Jurusalem sebagai ibu kota Israel oleh Presiden Amerika Donald Trump, kerana berita seumpama itu dianggap rasis bagi segelintir rakyat Sarawak.

    Menyedari sensitiviti itu, sejak minggu lepas beberapa pengguna media sosial mengecam mana-mana portal berita atas talian (termasuk portal berita Sarawakiana) yang menyiarkan laporan berkenaan kerana dikhuatiri mencetus perbahasan dikalangan netizen di negeri ini.

    Rata-rata netizen Sarawak yang terdiri dari masyarakat berbilang kaum dan agama menyatakan kekhuatiran terhadap penyiaran berita tersebut yang dianggap melaga-lagakan mereka.

    “…jangan cuba melaga laga kan antara kaum dan agama dgn mengepos perkara yg menyentuh sensitiviti kaum da agama di negara ini.. sbg contoh pengiktirafan Jerusellam sbg Ibu kota Israel,” kata Bebeh Lew.

    Melahirkan sentimen yang sama pengguna akaun Sal Saloma berkata, berita berkenaan isu Palestine – Israel tidak sesuai dibaca rakyat Sarawak kerana bersifat menghasut dan boleh menimbulkan huru-hara.
    Sementara itu, pemilik akaun Andrew Lanyi meluahkan pandangannya dengan meminta portal berita Sarawakiana tidak menyiarkan berita tersebut kerana bersifat menghasut.
    Sorang lagi pengguna Facebook Ayah Yusuf berkata, di Borneo penduduknya terdiri dari penganut Islam dan Kristian, justeru tidak seharusnya ada berita seperti itu.

    Ismi Niza yang bersetuju dengan saranan Ayah Yusuf menganggap berita berkaitan isu Palestine-Israel yang disiarkan sebagai sangat sensitif dan mampu menjadi gunting dalam lipatan.


    Bagi Uselyjohn Usely yang meluahkan kekhuatirannya berkata, pihak yang benci kepada Presiden Donald Trump sebenarnya merupakan pihak yang radikal dan menghasut dengan ideology sesat.


    Berdasarkan tinjauan, beberapa portal berita yang berpangkalan di negeri ini turut jadi mangsa kecaman netizen Sarawak kerana menyiarkan berita berkaitan Palestine – Israel atas alasan dikhuatiri mencetus perbahasan dan huru-hara.

    Bagaimana pun, sehingga kini tiada sebarang sekatan untuk rakyat Sarawak mengakses sebarang sumber berita dari luar negara.

    Sumber yang dekat dengan kerajaan ketika diminta memberi pandangan berkata, pendapat netizen itu hanyalah dari kumpulan kecil yang masih baru dengan keterbukaan jaringan media sosial.

    "Buat masa sekarang, kerajaan tidak ada perancangan untuk menyekat akses rakyat Sarawak terhadap portal berita yang menyiarkan laporan isu dari luar negara," kata sumber tersebut. - Sarawakiana

  • No Comment to " Berita Israel-Palestine Bakal Gugat Keharmonian Sarawak - Netizen "