• Belia Sarawak Digalak Ceburi Bidang Keusahawanan Sosial

    Published: Thursday, 7 December 2017
    A- A+

    KUCHING: Belia di negeri ini digalakan untuk menceburi bidang keusahawanan sosial kerana ianya mempunyai skop yang sangat luas dalam melibatkan kreativiti dan inovasi.

    Menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, kerajaan telah memperuntukkan jutaan ringgit menerusi Pusat Inovasi dan Kreativiti Malaysia (MaGIC) Sarawak untuk mempromosikan keusahawanan sosial dalam kalangan belia di sini.

    “Keusahawanan sosial sangat meluas konsepnya, apa sahaja yang bernilai dan boleh dijual.

    “Orang tidak tahu kerajaan turut menyediakan insentif untuk usahawan sosial antaranya insentif cukai dan umum tidak tahu mengenai perkara ini,” katanya.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Mohd Irwan yang juga pengerusi MaGIC berkata antara syarikat keusahawanan sosial berjaya di Malaysia ketika ini ialah EPIC Homes yang membantu kerajaan membina rumah untuk masyarakat orang asli.

    Beliau memberitahu, syarikat tersebut membina sebuah rumah untuk orang asli dengan kos RM40,000 berbanding kira-kira RM200,000 diperlukan oleh syarikat pembinaan dan mereka menyiapkannya dengan segera.

    “Pada masa akan datang keusahawanan sosial amat diperlukan kerana mereka ini tanpa sedar menyumbang semula kepada masyarakat seperti dilakukan oleh EPIC Homes.

    “Syarikat ini menggunakan 10 peratus daripada keuntungan mereka untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat berbanding syarikat lain hanya memperuntukkan satu peratus bagi tujuan itu,” katanya.

    Malah, menurutnya, keusahawanan sosial mempunyai potensi yang amat cerah di Sarawak memandangkan masih banyak perlu dilakukan di negeri ini lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar.

    Dalam konteks negeri Sarawak katanya, usahawan sosial ini boleh membantu kerajaan menyediakan bekalan elektrik dan air untuk komuniti pedalaman menerusi pembinaan empangan hidroelektirik mini.

    “Anggaran kos yang diperlukan hanyalah sekitar RM2,000 dan jika kerajaan melakukannya ia mungkin melibatkan kos tinggi iaitu sekitar RM3 juta untuk membina empangan dan penyambungan bekalan air ke rumah-rumah.

    “Inilah cara kita bekerja, menggunakan idea-idea kreatif serta inovatif yang lebih murah kosnya malah dapat dilakukan di kawasan terpencil,” katanya. - Sarawakiana 
  • No Comment to " Belia Sarawak Digalak Ceburi Bidang Keusahawanan Sosial "