• Belah Perut Penuntut, Curi Bayi

    Published: Friday, 8 December 2017
    A- A+

    Seorang penuntut kolej berusia 18 tahun di Brazil yang sedang hamil lapan bulan, dibunuh sebelum perutnya dibelah oleh wanita yang mahukan bayi dalam kandungannya itu selepas dia mengalami keguguran awal tahun ini.

    Dalam kejadian Selasa lalu, wanita berusia 38 tahun itu, Aline Roberta Fagundes, mempelawa mangsa, Gabrielle Barcelos Silva, ke rumahnya di Uberlandia, kononnya untuk memberi hadiah untuk bayi dalam kandungannya.

    Menurut laporan The Sun UK dan ibtimes, wanita itu kemudian memasukkan dadah ke dalam minuman penuntut jurusan kejuruteraan pertanian sebelum mencekik dan membelah perut mangsa bagi mengeluarkan bayi.

    Dia kemudian menyapu darah mangsa pada tubuhnya seolah-olah dia yang melahirkan bayi terbabit sebelum menghubungi talian kecemasan kononnya bersalin di jalan raya.

    Namun, kakitangan hospital yang merawatnya berasa sangsi lalu menghubungi polis sebelum wanita terbabit mengakui jenayahnya.

    Anak lelaki wanita itu yang berusia 14 tahun menemui mayat Gabrielle dibungkus dalam selimut di belakang rumah.

    Sehari sebelum pembunuhan,

    Gabrielle dalam profilnya di Facebook menyatakan dia tiada teman lelaki istimewa atau berkahwin. Sehari sebelum pembunuhannya, dia menyiarkan gambar menunjukkan dirinya mengandung dengan kata-kata: “Saya wanita paling gembira di dunia.”

    Menurut polis, siasatan mendapati wanita terbabit memang mensasarkan Gabrielle yang tinggal di kawasan yang sama selepas suaminya yang berusia 34 tahun (juga sudah ditahan) mengancam meninggalkannya selepas dia keguguran awal tahun ini.

    Menurut wanita itu, dia membuat carian di internet mengenai cara melakukan pembedahan perut dan mendakwa suaminya juga tahu mengenai rancangannya itu.

    Bayi terbabit berada dalam keadaan selamat dirawat di hospital.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Belah Perut Penuntut, Curi Bayi "