• Bekas Timbalan Pengarah JANS Hadapi 146 Tuduhan

    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+

    KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Teo Chee Kong, hari ini mengaku tidak bersalah terhadap 146 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram bernilai RM32.923 juta.

    Semua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) dan Seksyen 4 (1) (b) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

    Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a), Chee Kong, 52 berdepan 78 pertuduhan kerana kesalahan memiliki 70 bidang tanah hasil daripada aktiviti haram menerusi 78 transaksi dengan nilai pindah milik sebanyak RM12.705 juta.

    Baki 68 pertuduhan lagi dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (b) dengan enam kesalahan memiliki wang tunai daripada aktiviti haram berjumlah RM7.93 juta, termasuk RM1.978 juta dalam bentuk mata wang asing.

    Sebanyak 62 pertuduhan lagi membabitkan kesalahan memiliki wang dalam akaun bank hasil daripada aktiviti haram di lapan institusi kewangan yang berjumlah RM12.287 juta.

    Semua kesalahan itu didakwa dilakukan antara tahun 2010 hingga 2016 yang mana tertuduh terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram melalui penerimaan wang rasuah yang membabitkan projek di Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

    Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, Nixon Kennedy Kumbong, menetapkan wang jaminan RM1.5 juta dengan deposit sebanyak RM500,000 dan dua penjamin tempatan terhadap tertuduh.

    Mahkamah turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain tertuduh dikehendaki melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada setiap Sabtu.

    Nixon menetapkan 16 Januari depan sebagai tarikh pengurusan kes.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam Roland Cheng dan Hamid Ismail.

    Pada Oktober tahun lalu, SPRM menahan reman Chee Kong bersama bekas Pengarah JANS, Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 54, sebelum dibebaskan dengan jaminan agensi itu.Tertuduh ditahan semula di pejabat SPRM Sabah semalam sebelum dibawa ke mahkamah hari ini untuk proses pendakwaan.

    Pada 29 Disember tahun lalu, Awang Mohd, isterinya, Fauziah Piut, 51, dan seorang lagi bekas timbalan pengarah JANS, Lim Lam Beng, 62, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas 37 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM61.57 juta. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Bekas Timbalan Pengarah JANS Hadapi 146 Tuduhan "