• Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah ditangkap SPRM buat kali kedua

    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+


    KOTA KINABALU - Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah, Teo Chee Kong yang pernah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun lalu kerana memiliki wang tunai sebanyak RM7 juta, kini sekali lagi ditahan suruhanjaya tersebut di sini hari ini.

    Suspek yang berusia 52 tahun itu ditangkap pihak SPRM di sekitar bandar raya Kota Kinabalu kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

    Menurut sumber, Chee Kong, dijangka dihadapkan ke Mahkamah Kota Kinabalu dekat sini pada pukul 9 pagi esok untuk permohonan reman.

    Penangkapan tersebut adalah untuk membantu siasatan mengenai skandal rasual jabatan air berkenaan yang mencecah RM180 juta pada tahun lalu.

    Terdahulu, Chee Kong bersama bekas pengarah jabatan itu, Awang Mohd. Tahir Mohd. Talib, 54, telah ditahan selepas pihak SPRM menggeledah pejabat dan kediaman kedua-dua suspek di sini pada 4 Oktober tahun lalu.

    Hasil serbuan berkenaan SPRM menemui wang tunai sebanyak RM52 juta dimana RM7 juta milik Chee Kong manakala RM45 juta pula milik Awang Mohd. Tahir.

    Sejak kes rasuah itu dibongkar secara besar-besaran, tiga suspek yang terdiri daripada Awang Mohd. Tahir dan isterinya, Fauziah Piut, 51, serta seorang lagi bekas timbalan jabatan itu, Lim Lam Beng, 62, telah didakwa di mahkamah. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah ditangkap SPRM buat kali kedua "