• Bayi kembar diletakkan di pusat jagaan NGO

    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+


    BAYI kembar pasangan kekasih yang cuba dijual di dalam talian pada harga RM15,000, Jumaat lalu, diletakkan di sebuah pusat jagaan kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) JKM Mohd Fazari Mohd Salleh berkata, JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) mengambil tindakan segera menyelamatkan bayi berkenaan mengikut peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.

    Menurutnya, kedua-dua bayi itu berada dalam keadaan sihat di bawah kendalian pusat NGO terbabit yang terletak di ibu negara sambil diawasi JKM.

    "Ini kes pertama penjualan bayi di Internet yang dilaporkan kepada kami dan berjaya diselamatkan Pegawai Pelindung JKM hasil maklumat orang ramai.

    "JKM memandang serius kes sebegini dan kesal kerana perbuatan mengiklankan penjualan bayi itu boleh berlaku di laman sesawang jual beli yang popular di negara ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Sehubungan itu, Mohd Fazari berkata, JKM memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan segera kepada mereka sekiranya menemui kes penjualan bayi di mana-mana laman sesawang atau media sosial untuk tindakan segera.

    "Orang ramai boleh melaporkannya dengan menghubungi Talian Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di nombor 15999," katanya

    Akhbar hari ini melaporkan polis menahan pasangan kekasih yang cuba menjual bayi kembar mereka di dalam talian, malam kelmarin.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim dilaporkan berkata, suspek wanita berusia 20 tahun ditahan di rumahnya di Setapak pada 8 malam manakala suspek lelaki yang berusia 18 tahun ditahan di rumahnya di Ampang sejam kemudian.

    Portal berita tempatan melaporkan aktivis sosial Syed Azmi Alhabshi menerima aduan mengenai pengiklanan di mudah.my mengenai kes penjualan bayi kembar daripada seorang wanita berusia 20 tahun.

    Susulan aduan itu, Syed Azmi menghubungi pihak pengurusan mudah.my yang seterusnya mengambil tindakan pantas menurunkan iklan bertarikh 8 Disember lalu daripada laman sesawang mereka.

    Aktivis sosial itu seterusnya menghubungi pegawai polis di Bukit Aman dan JKM bagi mendapatkan perlindungan terhadap dua bayi malang berkenaan.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Bayi kembar diletakkan di pusat jagaan NGO "