• “Bayar Dulu PTPTN, Jangan Cepat Nak Suruh…”

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu memastikan proses bayaran balik pinjaman berjalan lancar sebelum boleh diperluaskan kepada pelajar luar negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

    Beliau berkata sekalipun kutipan menunjukkan peningkatan sejak tahun-tahun kebelakangan ini, perkara itu masih boleh ditambah baik.

    "Kutipan boleh dibaiki lagi. Dua tahun lepas kutipan bayaran adalah RM2 bilion, tahun lalu RM3.4 bilion dan kita jangka tahun ini kutipan lebih RM4 bilion. Angka ini boleh diperbaiki lagi, bermakna rakyat Malaysia faham dan mula bayar semula," katanya pada Isnin.

    Beliau ditemui pemberita selepas majlis menandatangani sijil kolaborasi di antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan MMC Corporation Berhad di Pelabuhan Tanjung Pelepas di sini.

    Mengulas lanjut, Idris berkata untuk membolehkan PTPTN diperluas kepada pelajar negara, Akta PTPTN perlu dipinda memandangkan ia ditubuhkan hanya untuk mengurus pinjaman pendidikan tinggi dan mengutip bayaran balik pinjaman bagi pengajian dalam negara.

    "Kena pergi Parlimen kalau hendak bawa (pinda) tetapi kita lupa PTPTN sebelum ini ada masalah kewangan dua tahun dulu, jadi, bayar dahulu (pinjaman) jangan cepat hendak suruh… (diperluas kepada pelajar luar negara)," katanya.

    Pada 6 Disember lalu, Puteri Umno dilaporkan mahu pembiayaan pendidikan PTPTN diperluas kepada pelajar Malaysia di luar negara bagi membantu meringankan kos hidup pelajar terbabit.

    Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata PTPTN boleh berperanan sebagai alternatif buat pelajar negara di seberang laut yang kini bergantung kepada pinjaman dan biasiswa daripada entiti seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan Majlis Amanah Rakyat. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " “Bayar Dulu PTPTN, Jangan Cepat Nak Suruh…” "