• Batal Notis Merah: Zakir Bukan Ancaman

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Monday, 18 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Tindakan Interpol membatalkan permohonan notis merah dikemukakan New Delhi kepada penceramah terkenal, Dr Zakir Naik, semalam membuktikan beliau bukan ancaman kepada keselamatan.

    Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali, berkata pihaknya bersyukur apabila Zakir, yang juga pengasas Yayasan Penyelidikan Islam dan Harmony Media Limited, dibebaskan daripada tuduhan menjalankan kegiatan keganasan seperti didakwa kerajaan India.

    "PERKASA bersyukur Interpol membatalkan notis merah Zakir dan mengarahkan semua pihak memadamkan semua data berkaitan dakwaan palsu terhadap beliau," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

    Notis merah ialah permintaan sebuah negara untuk menjejak dan menangkap individu untuk diekstradisi, yang dikeluarkan Interpol berdasarkan permintaan negara atau tribunal antarabangsa.

    Bagaimanapun, notis merah bukan waran tangkap antarabangsa. Sekiranya Interpol menguar-uarkan Notis Merah, individu yang dinamakan itu hanya disyaki terbabit jenayah, masih belum dihukum dan dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah.

    Ibrahim berkata, Agensi Siasatan Kebangsaan (NIA), India menfailkan senarai tuduhan terhadap Zakir bahawa beliau mempengaruhi belia melakukan keganasan dan ucapan berbaur kebencian, Oktober lalu.

    Katanya, tindakan Interpol boleh membersihkan nama Zakir daripada sebarang tuduhan melulu, prasangka, prejudis dan fitnah.

    Beliau berkata, keputusan Interpol itu membuka mata segelintir pihak untuk menjernihkan hubungan antara kaum dan agama di negara ini.

    Ibrahim berkata, Pengerusi Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (HINDRAF), P Waytha Moorthy serta 18 yang lain patut menarik balik serta mengugurkan tuntutan mahkamahnya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Batal Notis Merah: Zakir Bukan Ancaman "