• Bapa Sebat Diri Sendiri Sebab 'Tak Pandai' Ajar Anak

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+

    Selain di sekolah, pendidikan yang sebenar adalah bermula di rumah – bagaimana ibu bapa mendidik dan membesarkan anak-anak mereka supaya menjadi insan yang berguna.

    Namun, anak-anak mungkin melakukan kesilapan walaupun ibu bapa sudah memberikan didikan yang terbaik. Dan pada ketika itu, ibu bapa pasti akan melakukan sesuatu untuk memastikan anak-anak mereka tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama di masa depan.

    Begitu juga dengan seorang bapa di China apabila beliau memilih menggunakan kemahiran keibubapaan yang sedikit berbeza sebagai memberi pengajaran kepada anak lelakinya – dengan memukul dirinya sendiri.

    Dalam rakaman video yang tular di laman sosial, lelaki terbabit dilihat memarahi anak lelakinya di ruang tamu rumah mereka selepas mendapat tahu remaja itu membawa telefon bimbit ke sekolah untuk bermain permainan.

    Memetik Shanghaiist, remaja lelaki itu bagaimanapun cuba mempertahankan tindakannya dengan mendakwa bahawa seorang guru memberitahunya supaya membawa telefon bimbit.

    “Adakah ayah tidak ajar kamu?” soal si bapa sebelum anak lelaki terbabit menjawab bahawa perkara tersebut telah diajar oleh bapanya.

    “Kamu diajar, tetapi kamu tidak belajar?” tambah lelaki terbabit dalam nada marah.

    Si anak sekali lagi menjawab secara berkias menggunakan simpulan bahasa Cina: “Mengajar tanpa kekerasan, ia adalah kemalasan seorang guru.”

    Mendengar ungkapan si anak, si bapa segera 'naik angin' lalu menyerahkan sebatang rotan kepada anaknya sebelum dia membuka baju dan berada dalam keadaan melutut.

    “Kali ini, kesalahan kamu adalah kesilapan ayah. Ayah tidak mengajar kamu dengan baik. Ayah akan bertanggungjawab atas kesalahan itu,” kata lelaki terbabit, sambil mengarahkan anak lelakinya supaya menghukumnya.

    Lelaki terbabit mendesak anak lelakinya supaya memukul belakangnya mengguna rotan tersebut. Namun, kelihatan si anak enggan berbuat demikian sambil menangis teresak-esak.

    “Jika saya beritahu kamu untuk pukul, pukul lah. Ini silap saya. Kamu dengar apa saya cakap. Cepat, pukul saya!,” si bapa menjerit ke arah anak lelakinya.

    Bagaimanapun si anak dilihat tidak sampai hati memukul bapanya, sebelum si bapa merampas rotan dari tangan anaknya lalu mula memukul dirinya sendiri sambil menjerit: “Salah aku... aku tidak ajar anak aku. Salah aku, salah aku, salah aku...”

    Sementara si bapa terus-terusan memukul diri sendiri, anak lelakinya pula masih menangis sambil memandang bapanya, sementera kedengaran suara budak perempuan dipercayai anak lelaki terbabit merayu supaya bapanya menghentikan perbuatan itu, lapor Shanghaiist.

    “Ayah tidak ajar kamu dengan baik. Kamu bawa telefon bimbit ke sekolah untuk bermain permainan. Kamu masih berani mengatakan guru kamu yang suruh bawa?,” kata lelaki terbabit.

    “Kali ini, ayah akan ambil hukuman kamu. Lain kali, kamu kena tanggung, batang kayu ini akan jatuh atas belakang kamu. Berapa banyak batang kayu patah di belakang ayah, (jumlah) itu juga yang akan patah di belakang kamu...,” si bapa memberi amaran.

    Difahamkan, video rakaman kejadian pernah tular bulan lalu tetapi rakaman tersebut sekali lagi kembali tersebar di laman sosial.-Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " Bapa Sebat Diri Sendiri Sebab 'Tak Pandai' Ajar Anak "