• ‘Bapa Datang Serang Dengan Parang’

    Published: Monday, 25 December 2017
    A- A+


    SUDAH menjadi fitrah guru disiplin dikenali dengan karakter garang, dan tentunya rutinnya menegur dan mengenakan hukuman terhadap pelajar nakal.

    Berkongsi pengalaman empat tahun sebagai guru disiplin di Sekolah Menengah Kebangsaan Banting, sekitar tahun 2006 hingga 2009, Saharuddin Abdullah berkata, dia pernah berdepan amukan seorang bapa yang datang menghunus parang di sekolah.

    “Saya juga pernah banyak kali tegur pelajar, esok lusa ibu bapa datang serang di sekolah.

    “Ketika jadi guru disiplin sekitar 2006 hingga 2009 memang ada bapa datang bawa parang ke sekolah. Setakat kena marah dengan ibu bapa memang perkara biasa. Itu cerita 10 tahun lepas kalau tahun 2018 ni lagi lain pula persekitaran dan coraknya,” katanya.

    Saharuddin berkata, sepanjang 27 tahun mengabdi diri sebagai pendidik, beliau mengakui generasi baharu hari ini kurang menghormati guru sebagai pendidik.

    “Tidak dapat dinafikan perkembangan media sosial sangat mempengaruhi mereka. Mereka menganggap ilmu tidak berapa penting.

    “Mereka andaikan jika tidak belajar tinggi pun mereka boleh dapat kerja dan mampu sara kehidupan jadi apabila wujud persepsi seperti ini mereka tidak menghormati guru,” jelasnya.

    Guru bahasa Melayu ini berkata, sebagai guru tidak pernah ada niat di hati mereka untuk membinasakan kehidupan pelajar.

    “Sebarang tindakan yang diambil itu bertujuan mendidik pelajar untuk memperbetulkan kesalahan mereka.

    “Itu tujuan untuk mendidik mereka dan memperbetulkan tindakan kerana jika dibiarkan dia akan mempengaruhi orang lain untuk melakukan kesalahan sama.

    “Cikgu memang boleh biar tetapi niat cikgu untuk mendidik pelajar bagi melahirkan generasi yang memenuhi falsafah pendidikan negara dari segi jasmani, emosi, rohani dan sahsiah mereka,” katanya.

    -Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " ‘Bapa Datang Serang Dengan Parang’ "