• Bantah PM Israel

    Published: Monday, 4 December 2017
    A- A+

    TEL AVIV: Puluhan ribu penduduk Israel mengadakan bantahan terhadap amalan rasuah dalam kerajaan dan kelewatan siasatan skandal rasuah membabitkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

    Netanyahu disyaki menerima hadiah mewah daripada penyokong yang kaya dan turut disiasat berhubung dakwaan cuba memeterai perjanjian rahsia bagi mendapatkan liputan eksklusif dari akhbar paling laris di Israel, Yediot Aharonot

    Orang ramai mengadakan perarakan di kawasan kejiranan elit di sini dan menjerit ‘Malu’ dan ‘Bibi balik’, merujuk kepada nama panggilan Netanyahu.

    Bantahan itu dianjurkan pemimpin protes mingguan yang diadakan di luar kediaman Peguam Negara, Avishai Mandelbit sejak beberapa bulan lalu.

    “Netanyahu dan kerajaannya menghancurkan negara ini. Sudah cukup amalan rasuah,” kata aktivis yang ingin dikenali sebagai Michal.

    Pemimpin pembangkang Israel, Isaac Herzog turut menyatakan solidariti bersama penunjuk perasaan itu menerusi akaun Facebook miliknya.

    “Kekecewaan lahir daripada ketidakadilan, penolakan terhadap amalan rasuah dan bantahan moral terhadap undang-undang yang dibuat untuk mengukur seorang individu,” katanya.

    Parlimen Israel melakukan bacaan kedua dan ketiga bagi rang undang-undang baru di mana penentang Netanyahu mendakwa ia untuk membantu pemimpin itu terlepas daripada siasatan.

    Penaja rang undang-undang itu, David Amsalem daripada parti Likud berkata, beliau hanya berusaha untuk melindungi hak dan reputasi suspek.

    Netanyahu disyaki menerima hadiah mewah daripada individu kaya termasuk ahli perniagaan Israel dan penerbit Hollywood, Arnon Milchan yang turut disiasat.

    Milchan yang akrab dengan Netanyahu dilaporkan memberi beberapa kotak cerut mahal dan beberapa barangan lain bernilai lebih puluhan ribu dolar.

    Selain itu, polis turut mengesyaki Netanyahu mengadakan perjanjian rahsia dipercayai masih belum muktamad yang berkemungkinan akan mendapat liputan meluas sebagai balasan kerana membantu menyekat pesaing akhbar Yediot, Israel Hayom.

    Perdana Menteri itu secara konsisten menafikan sebarang salah laku dan memberitahu dia menjadi sasaran kempen fitnah politik pembangkang.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Bantah PM Israel "