• Bantah lawatan Naib Presiden AS

    Published: Sunday, 17 December 2017
    A- A+

    RAMALLAH: Parti Fatah pimpinan Presiden Mahmud Abbas, semalam menyeru demonstrasi besar-besaran diadakan minggu depan bagi membantah lawatan Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence, ke Baitulmaqdis.

    Ia susulan pengiktirafan bandar raya itu sebagai ibu kota Palestin oleh Presiden Donald Trump pada 6 Disember lalu.

    Perisytiharan Trump itu mencetuskan kutukan global dan menyebabkan bantahan di seluruh negara Islam dan Arab, selain pertempuran di wilayah diceroboh di antara Palestin dan tentera Israel.

    Ia juga menyebabkan Abbas membatalkan pertemuan dengan Pence, yang akan tiba di Baitulmaqdis Rabu ini, dan memberi amaran Washington tidak lagi berperanan dalam proses damai Israel-Palestin.

    "Kami menyeru bantahan di pintu masuk ke Baitulmaqdis dan di Kota Lama sempena lawatan Mike Pence, Rabu ini dan membantah keputusan Trump," kata Fatah dalam kenyataan.

    Desakan mengadakan bantahan dibuat ketika ribuan penduduk Palestin menghadiri majlis pengebumian empat warganya yang dibunuh tentera Israel kelmarin, ketika demonstrasi di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

    Mereka melaungkan slogan anti-Trump dan lelaki bertopeng melepaskan tembakan ke udara ketika upacara itu di kampung Beit Ula di Tebing Barat.

    Seorang yang terkorban ialah Ibrahim Abu Thurayeh, yang hilang kedua-dua kakinya dalam serangan rejim Zionis sedekad lalu. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Bantah lawatan Naib Presiden AS "